Sistem Saraan Perkhidmatan Awam: Mengutamakan Prestasi Perkhidmatan Awam, Mendahulukan Kebajikan Penjawat Awam
Putrajaya, 16 Ogos 2024 – Kerajaan telah memulakan kajian terhadap sistem saraan perkhidmatan awam bermula Julai 2023 yang memfokuskan kepada aspek kemampanan saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat. Setelah mengambil kira pelbagai faktor, Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam (Civil Service Reform) bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI. Tiga (3) ikhtiar bagi mencapai maksud ini adalah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara.
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. Justeru, fokus SSPA tertumpu kepada aspek mempertingkatkan produktiviti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.
Melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan menerusi pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam iaitu, Pengoptimuman Sumber dan Peningkatan Produktiviti, Pengurusan dan Pembangunan Modal Insan, Pengukuhan Kepimpinan, Pengukuhan Tatakelola dan Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan.
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi. Selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.
https://www.youtube.com/watch?v=Zcu3f5wtLGc
Dalam hal ini, melalui aspek mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti, Kerajaan bersetuju untuk:
(i) meningkatkan kelayakan masuk minimum ke perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara. Seiring dengan peningkatan syarat lantikan ini, beban dan kompleksiti tugas sedia ada akan ditambah dan ditingkatkan;
(ii) skim perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain, yang mana akan memberikan laluan kerjaya lebih baik serta mobiliti yang lebih luas kepada penyandang;
(iii) menyeragam dan mengelaskan semula gred jawatan secara menyeluruh berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam;
(iv) meminda syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik berkhidmat dalam perkhidmatan awam selari evolusi teknologi dan dasar;
(v) kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) diperluaskan dalam syarat lantikan bagi 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM; dan
(vi) kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM)/ Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) diperluaskan dalam syarat lantikan bagi 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma/ STPM, sebagai tambahan kepada dua (2) skim perkhidmatan sedia ada. Perkara ini akan memberikan peluang kepada lebih 295,000 graduan SVM dan DKM/ DLKM sedia ada, dalam pasaran.
Baca juga – Kalkulator Gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA): Kira Gaji Baru Penjawat Awam 2024
Dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat pula, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah baik perkara-perkara berikut:
(i) aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas;
(ii) pengenalan kepada pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem MyPERFORMANCE;
(iii) kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) hanya terpakai kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib;
(iv) markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat ditingkatkan daripada 80% kepada 85%;
(v) markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT dinaikkan daripada 60% kepada 75%. Markah minimum ini juga akan digunakan untuk menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah (Exit Policy) – penamatan perkhidmatan; dan
(vi) pengukuhan peranan ketua jabatan dalam organisasi bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.
Kerajaan turut komited dalam memastikan nasib penjawat awam sentiasa terbela. Sehubungan itu, selaras dengan keprihatinan Kerajaan, pelarasan gaji akan ditetapkan seperti berikut:
(i) pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan
(ii) pelarasan gaji sebanyak 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Pemberian pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2. Pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional akan menerima pelarasan gaji Fasa 1 sebanyak 8% serta 7% bagi Fasa 2.
Bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), pelarasan gaji yang diberikan adalah sebanyak 4% bagi Fasa 1 dan 3% bagi Fasa 2. Kerajaan turut bersetuju supaya Gaji Permulaan Terendah (GPT) dalam Perkhidmatan Awam ditambah baik kepada RM1,500 sebulan. Gaji penjawat awam yang sedang berkhidmat akan diselaraskan pada 1 Disember 2024, manakala penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.
Dalam usaha untuk meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam (6) tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) ke-2. Insentif ini bersamaan dengan kadar satu (1) kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.
Baca juga – 4 Matlamat Kewangan Sebelum 40 Tahun Yang Perlu Anda Capai
Manakala kemajuan kerjaya Kumpulan Pengurusan dan Profesional Perkhidmatan Awam juga akan ditambah baik seperti yang berikut:
(i) Kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai Gred 41 hingga Gred 48 secara Khas Untuk Penyandang (KUP) akan dilaksanakan bagi pegawai yang telah memenuhi tempoh dan kriteria yang ditetapkan. Urusan ini hanya bagi skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya terhad kepada kekosongan jawatan sahaja; dan
(ii) Pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME). Inisiatif ini dilaksanakan melalui urusan pemangkuan/ kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C. Fokus akan diberikan kepada tujuh (7) bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence – AI), keselamatan siber, transformasi digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, persempadanan negara dan pengurusan bencana.
Selain itu, bagi Veteran ATM Tidak Berpencen, Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak. Pertimbangan ini dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup veteran ATM yang terlibat. Perincian berhubung pelarasan gaji dan pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jabatan Perkhidmatan Awam
Tarikh: 16 Ogos 2024
E-mel : komunikasi@jpa.gov.my
No.Rujukan: JPA.100-9/1/2 Jld.2 (73)