View Full Version: Fikir sumbangan kepada sekolah

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Petikan Akhbar > Fikir sumbangan kepada sekolah



Title: Fikir sumbangan kepada sekolah


hartiniazhar - January 6, 2008 08:01 AM (GMT)
:) PUTRAJAYA 5 Jan. – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu ibu bapa yang bercadang menuntut balik bayaran tambahan sekolah anak masing-masing, memikirkan pula apakah sumbangan mereka kepada pihak sekolah.

Menurutnya, ini kerana ada sesetengah ibu bapa yang tidak pernah menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau mengambil tahu perihal anak di sekolah tetapi melenting apabila membuat bayaran yuran tambahan yang dianggap mahal.

Bagi beliau, sepatutnya ibu bapa menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan membantu pihak sekolah meningkatkan prestasi anak mereka.

“Saya pernah melawat sebuah sekolah Cina yang mana ibu bapa melalui PIBG menyumbang untuk membersihkan tandas-tandas yang ada dalam sekolah itu.

“Saya lihat PIBG sekolah itu menyediakan perpustakaan dan prasarana teknologi maklumat, ibu bapa juga proaktif, sanggup membantu sekolah dan menyediakan aktiviti yang mampu memanfaatkan pelajar. Namun ada sesetengah ibu bapa pula meletakkan semua beban ini kepada pihak sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga kementeriannya di Taman Wetland di sini hari ini.

Semalam, Hishammuddin mengingatkan para pegawai pelajaran daerah dan sekolah supaya memastikan bahawa dasar kerajaan tidak pernah mewajibkan bayaran yuran tambahan benar-benar dilaksanakan.

Menurutnya, jika terdapat laporan ada sekolah yang mewajibkan bayaran yuran tambahan itu, maka beliau meminta perkara tersebut dilaporkan terus kepadanya.

Dalam hubungan ini, Hishammuddin berkata, kementeriannya tidak berhasrat menyelaraskan bayaran tersebut di semua sekolah kerana terdapat ramai ibu bapa sanggup memberi sumbangan demi kepentingan anak-anak mereka.

“Ada ibu bapa dari kalangan jutawan, mereka mampu dan mahu memberi lebih banyak sumbangan kepada sekolah. Kita tidak mahu menyekat mereka menyumbang kepada sekolah.

“Keputusan yang telah dibuat sekarang adalah penyelesaian ‘menang-menang’ iaitu ibu bapa yang mampu boleh menyumbang lebih banyak manakala yang tidak mampu boleh memilih untuk tidak menyumbang,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, ibu bapa yang benar-benar tidak berkemampuan boleh mengambil balik bayaran tambahan yang telah dibayar kepada pihak sekolah.

“Sumbangan RM25, RM30 kepada sekolah itu boleh diambil balik, sekolah tidak akan ditutup (hanya) kerana kekurangan sumbangan tersebut.

“Nak minta (balik), mintalah. Itu (bayaran tambahan sekolah) bukan suatu bayaran yang wajib,” katanya.

Tambahnya, hanya segelintir sekolah yang mengenakan bayaran yuran tambahan secara keterlaluan manakala selebihnya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

‘‘Dalam hal ini, saya telah meminta pengarah-pengarah negeri memantau perkara ini secara ketat,” katanya.


Ada bayaran tambahan tidak masuk akal – NUTP

KUALA LUMPUR 5 Jan. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenal pasti beberapa bayaran tambahan yang tidak munasabah dikutip oleh pihak sekolah sedangkan ia tiada kaitan dengan pembangunan pelajar.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng mendedahkan, ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di sini yang mewajibkan pelajar membayar perkhidmatan pembersihan tandas swasta sebanyak RM11.

Menurut beliau, ada pula sekolah mengenakan bayaran untuk perkhidmatan kad pengimbas perpustakaan dan penyediaan langsir di bilik tersebut.

Yim Pheng berkata, keperluan yang tidak masuk akal itu membebankan ibu bapa kerana ia menjadikan jumlah keseluruhan bayaran tambahan yang dikenakan berlipat ganda.

‘‘Ibu bapa tidak wajar dipertanggungjawabkan dengan bayaran tambahan yang tidak masuk akal dan tiada kena-mengena dengan pembangunan pelajar.

“Pihak PIBG sepatutnya mencari dana bagi membiayai perbelanjaan penyelenggaraan atau mencantikkan sekolah,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Bayaran yang tidak masuk akal seperti penyelenggaraan tandas itu turut dikenakan terhadap para pelajar sebuah sekolah menengah di Permas Jaya, Johor Bahru, Johor.

Bagaimanapun, Jabatan Pelajaran Johor mengarahkan supaya bayaran itu dipulangkan berkuat kuasa Isnin ini.

Yim Pheng menambah, terdapat sebuah sekolah menengah di ibu kota mengenakan bayaran RM30 untuk kain sarung (pelajar perempuan), manakala pelajar lelaki beragama Islam dikehendaki membayar RM17 untuk kain samping.

Katanya, walaupun pakaian itu satu keperluan, harganya disifatkan terlalu tinggi sedangkan sekolah membeli atau menempahnya dengan jumlah yang banyak.

Yim Pheng turut menyatakan, bayaran yang tidak material itu termasuk plastik tanda nama sebanyak RM1.

Katanya, terdapat sebuah sekolah menengah di Cheras yang mewajibkan bayaran pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pembangunan sekolah berjumlah RM15.

Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran digesa mengawal bayaran tambahan yang tidak munasabah dengan menyediakan garis panduan khusus supaya yang benar-benar perlu sahaja dibayar oleh ibu bapa.




Hosted for free by InvisionFree