View Full Version: "Little Mosque on the Prairei"

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Agama/Moral > "Little Mosque on the Prairei"



Title: "Little Mosque on the Prairei"


hartiniazhar - November 18, 2007 04:10 AM (GMT)
:) Cerita bermula dengan kecederaan yang dialami seorang pengusaha kafe muslim yang terjatuh ketika bertengkar dengan seorang pelanggan di kafenya. Setelah dirawat oleh seorang doktor muslim, beliau dinasihatkan supaya banyak beriadah dengan berenang bagi menguatkan ligamen lututnya. Oh, lupa nak dinyatakan bahawa kedua-dua pengusaha kafe dan doktor itu perempuan.

Pada satu hari, kedua-dua mereka pergi ke kolam renang milik perbandaran. Alhamdulillah, bandar itu mempunyai hari khusus untuk wanita menggunakan kolam renang. Maka soal aurat tidak menjadi persoalan kerana semua pengguna kolam renang pada hari itu ialah perempuan. Bagaimanapun masalah timbul kerana instructor kolam renang itu ialah seorang 'lelaki lembut'. Maka kedua-dua wanita muslim itu membantah kehadiran instructor itu atas alasan mereka beragama Islam dan menjadi satu kesalahan di sisi Islam untuk mereka berbikini di hadapan seorang lelaki bukan muhrim. Lelaki lembut itu mendakwa dia seorang 'gay' dan tidak bernafsu melihat perempuan. Jadi dia enggan meninggalkan kolam renang itu kerana dia bertugas pada hari itu. Pengusaha kafe dan doktor muslim itu akhirnya terpaksa mengalah dan tidak jadi berenang kerana kelas renang hanya dikendalikan oleh instructor 'gay' itu.

Maka bermulalah perjuangan doktor muslim itu untuk mendesak datuk bandar - yang juga seorang wanita - untuk menyediakan instructor renang wanita. Beliau memohon pertolongan ibunya, pegawai perhubungan awam di pejabat datuk bandar untuk melobi majlis perbandaran agar memenuhi tuntutannya. Datuk bandar bukan muslim itu tidak membantah cadangan tersebut tetapi berkata majlis perbandaran tidak mempunyai bajet yang cukup untuk menggaji seorang instructor renang wanita. Beliau (datuk bandar) bagaimanapun berjanji akan membawa perkara itu ke mesyuarat majlis jika doktor muslimah itu berjaya mengutip tandatangan sokongan daripada sekurang-kurang 120 wanita (jika ingatan saya belum pudar).

Ibu doktor muslim itu pula berhadapan dengan masalah. Jika permohonan anaknya itu diluluskan oleh mesyuarat majlis, maka harapannya untuk menyertai lawatan ke China akan terjejas. Ini kerana bajet untuk membiayai instructor renang wanita akan diambil daripada kos membiayai lawatan beliau ke China. Maksudnya, beliau tidak akan tersenarai menyertai lawatan ke China jika instruktor renang wanita digaji. Maka bermulalah usahanya untuk menggagalkan kempen pungutan tandatangan itu. Dalam salah satu slot sitcom itu, beliau cuba mempengaruhi seorang wanita bukan muslim agar tidak menurunkan tandatangan di kertas petisyen. Bagaimanapun cubaannya gagal dan wanita bukan muslim itu menurunkan tandatangan kerana menganggap idea menggaji seorang instructor wanita bagi perenang wanita adalah baik.

Saya tidak ingat kesudahan cerita itu kerana tumpuan saya terganggu dengan tugas-tugas lain di pejabat. Tetapi pengajaran yang diperolehi dari sitcom itu adalah, bukan menjadi satu keganjilan atau kesukaran untuk mengamalkan Islam di negara-negara minoriti muslim seperti Kanada. Walaupun Barat kini diserang sindrom Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) pasca insiden 11 September 2001, masih ada di kalangan masyarakat dunia yang mampu berfikiran rasional dan mengamalkan toleransi. Sitcom "Little Mosque on the Prairie" adalah salah satu usah untuk mengikis sindrom Islamophobia itu.




Hosted for free by InvisionFree