PUTRAJAYA 4 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa sebarang pertimbangan melibatkan gaji kakitangan awam mesti mengambil kira kemampuan kerajaan dan produktiviti kakitangan terbabit.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan begitu bersimpati dengan kedudukan kakitangan awam dan meminta mereka menunggu keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan.
Bagaimanapun, setakat ini katanya, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam seperti yang diminta oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
“Soal gaji belum dibincangkan di peringkat Kabinet. Soal gaji di bawah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Kita tunggulah apa-apa keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan,” katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Pekan Fest 2007 dan sumbangan penajaan di sini, hari ini.
CUEPACS telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Januari lalu yang antara lain menuntut kerajaan membuat semakan gaji antara 20 dan 40 peratus, persaraan kakitangan awam dilanjutkan ke usia 60 tahun dan penghapusan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Kongres itu mencadangkan kenaikan 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1 hingga 16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam, manakala bagi kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga 26 dan Gred 27 hingga 40) pula kadar kenaikan yang dicadangkan ialah 30 peratus.
Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54), CUEPACS mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 20 peratus, manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) pula sebanyak 10 peratus.
Selasa lalu, Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, pihaknya akan menolak jika kerajaan hanya memberikan kenaikan gaji purata 10 peratus bagi kakitangan awam kerana menyifatkannya sebagai pelarasan dan bukan kenaikan seperti yang diminta.
Najib berkata, setakat ini, CUEPACS tidak menyebut mengenai komitmen terhadap peningkatan produktiviti di kalangan anggota-anggota mereka.
“Apa pun, produktiviti adalah penting untuk meningkatkan kerja kita,” katanya.
Oleh: HABIBAH OMAR
Utusan Malaysia.
:) Hai....Pak Najib oi! Kenapa produktiviti yang dipertikaikan...! Selama ni cikgu, polis, doktor tak kerja ke? Kalau deme tak buat kerje dgn elok...maknenye buat ape kerje teruk-teruk tapi gaji tak pernahnye cukup kalau nak dibandingkan dengan kos sara hidup sekarang. Barang naik, terbaru yuran langganan Astro pulak nak naik! Kenape dihebohkan pade semue ekonomi negare bagus, banyak pelaburan masuk, statistik ni statistik tu (boleh percaye ke?), bla,bla,bla......tapi tak mampu nak naikkan gaji kakitangan awam yang ada diantara kite yg semakin nazak ! Bukakle mate tu luas-luas, turun padang tengok rakyat especially kakitangan awam, jgn nak turun padang waktu pilihanraye je! Lihat sendirile dan calculate perbelanjaan sebulan kakitangan awam. Ape gunenye jadi pemimpin tak mampu tolong rakyat sendiri. :geram: