:)
KINI wujud sindrom di kalangan ibu bapa yang cepat melenting dan menyalahkan pihak sekolah dan guru apabila tindakan disiplin dikenakan ke atas anak mereka seperti menggantung persekolahan atau dibuang sekolah.
Pihak sekolah sukar bertindak memberi pengajaran kepada pelajar yang melanggar peraturan kerana ada ibu bapa terlalu cepat membuat rumusan daripada apa yang disampaikan anak berhubung sesuatu kes.
Ada ibu bapa cepat bertindak tidak wajar seperti mendedahkan kepada media mengenai ketidakpuasan hati tanpa mendapat maklumat tepat dari pihak sekolah.
Ibu bapa perlu mengetahui betapa suasana anak di sekolah mudah terdedah dengan pengaruh luar yang negatif dan oleh itu gejala sosial di kalangan pelajar semakin meningkat.
Ibu bapa perlu mengambil perhatian betapa pihak sekolah kini sangat sukar untuk membendung gejala salah laku akibat dari pengaruh luar yang sering mempengaruhi remaja untuk melanggar peraturan.
Ambil saja pada 2005, seramai 7,000 pelajar dibuang dari sekolah, manakala 15,000 digantung sekolah. Mengikut undang-undang, hanya ponteng di pusat hiburan boleh diambil tindakan.
Dilaporkan dalam akhbar pada 2006 berlaku lebih 14,600 kes pelajar ponteng berbanding 2005, lebih 11,800 pelajar didapati ponteng, manakala 2004 dilaporkan 15,400 kes ponteng sekolah.
Kaedah undang-undang sedang difikirkan untuk membendung gejala ini oleh Majlis Peguam untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
Walaupun salah laku di sekolah masih kecil iaitu 0.8 peratus daripada keseluruhan pelajar, kejadian dan jenis kesalahan yang dilakukan pelajar sekarang tidak boleh dipandang ringan. Ibu bapa perlu ambil peringatan kes pergaduhan antara pelajar juga kini semakin meningkat. Kes pergaduhan ala samseng kini menjadi fenomena tidak asing lagi dan sangat membimbangkan.
Kita masih ingat peristiwa pergaduhan ala samurai dua kumpulan pelajar pada Februari 2007 di Kuala Terengganu yang mengakibatkan seorang pelajar tercedera.
Juga satu peristiwa pergaduhan pelajar di Ipoh, apabila seorang pelajar dipukul oleh pelajar lain selama empat jam. Perkara sama terjadi di Alor Star apabila seorang pelajar berumur 14 tahun dipukul sehingga pengsan.
Di Sungai Petani pula, sekumpulan 40 pelajar bergaduh dengan menggunakan batu bata, botol, kayu dan bangku , bergaduh di premis sekolah. Tiga pelajar tercedera, 30 ditahan polis dan 16 disoal siasat. Pada Mac 2005 seorang pelajar, Mohd Farid Ibrahim di Seremban mati dipukul pelajar senior.
Demikian juga pada Januari 2007 dilaporkan beberapa pelajar Tingkatan empat Sekolah Menengah Sultan Alam Shah ditendang dan dibelasah sekumpulan pelajar senior hanya kerana enggan mematuhi arahan pelajar senior.
Di samping itu, jumlah kes juvana membabitkan pelajar sehingga September 2006 meningkat kepada 1,545 berbanding 1,130 dalam tempoh yang sama pada 2005. Pada September 2006 lalu, 4,844 kes juvana dikesan, meningkat berbanding 2,938 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya. Ini hanya beberapa catatan mengenai betapa salah laku pelajar kini semakin serius.
Memandangkan kita tidak ada pilihan melainkan semua pihak perlu bekerjasama dalam memulihkan pelajar terbabit daripada terus melakukan salah laku, maka tindakan ke atas 32 pelajar di SMK Jabi, Kedah baru-baru ini seharusnya diterima dengan sikap terbuka oleh ibu bapa jika memang benar terbukti anak mereka melakukan kesalahan yang terpaksa dikenakan hukuman gantung persekolahan berkuat kuasa 3 April lalu.
Sindrom untuk selalu membela anak walaupun jelas ada anak cuba menyembunyikan kesalahan mereka di hadapan ibu bapa tidak harus menjadi tabiat kita di kalangan waris. Jika kita mahu memastikan mereka akan terdidik sebagai insan yang berakhlak dan berdisiplin kita perlu cermat dan teliti mendengar laporan mereka agar kita tidak membuat rumusan tidak tepat.
Jika pun ada yang tidak puas hati dengan tindakan sekolah, ibu bapa harus terus berbincang dengan pihak sekolah dan mencari jalan terbaik untuk memastikan akhirnya anak itu dapat dipulihkan sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Teras berpendapat semua pihak terutama ibu bapa perlu memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak sekolah supaya sebarang tindakan yang terpaksa diambil ke atas pelajar yang melakukan kesalahan mendapat kefahaman bersama yang baik dari ibu bapa sendiri.
Selain itu, mereka harus mengambil langkah bagi memperbetulkan anak terbabit agar menunjukkan mereka sentiasa dalam perhatian ibu bapa dan guru untuk memastikan masa depan mereka nanti akan menjadi lebih terjamin.
MOHD AZMI ABDUL HAMID,
Presiden Persatuan Teras Pengupayaan
Melayu (Teras).