Kereta cikgu dipecah
Oleh Mohd Fazil Ahmad
am@hmetro.com.my
ALOR STAR: Seorang guru sebuah sekolah menengah di sini, kesal dengan tindakan segelintir pelajar sekolah itu yang didakwa sengaja memecahkan cermin keretanya hingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000.
Guru terbabit, Hazidah Zainol, 38, berkata perbuatan merosakkan harta benda guru bukan pertama kali berlaku di sekolah itu, malah pernah terjadi sebelum ini hingga membingungkan pihak sekolah.
Berikutan itu, Hazidah yang juga guru teknologi maklumat sekolah terbabit kini bingung dengan kejadian itu hingga memaksanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Star kira-kira jam 2.46 petang, semalam.
Ibu kepada tiga anak berusia 7 hingga 10 tahun dan baru tiga bulan berkhidmat di sekolah itu tidak mempunyai masalah dengan pelajarnya dan tidak menyangka kejadian itu menimpanya.
“Jika membabitkan kejadian biasa, saya tidak kisah, tetapi ia membabitkan harta benda guru termasuk kereta saya dan jika dibiarkan mungkin mengancam keselamatan,” katanya.
Hazidah berkata, dia menyedari cermin kereta BMW miliknya pecah kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam ketika dia sedang mengajar dan dimaklumkan guru lain yang melihat kejadian itu.
Katanya, selepas diberitahu mengenai kejadian itu, dia kemudian membuat pemeriksaan dan terkejut apabila mendapati cermin belakang keretanya pecah dan retak.
“Saya mengesyaki beberapa pelajar sekolah ini melakukannya kerana mereka berpakaian seragam dan berada di tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro, semalam.
Hazidah berkata, sebelum kejadian dia datang awal ke sekolah kira-kira jam 7 pagi dan meletakkan keretanya di kawasan lapang berhampiran bangunan tiga tingkat sekolah berkenaan yang tidak berbumbung.
“Besi yang mengenai cermin kereta saya itu jatuh dari tingkat tiga bangunan itu dipercayai sengaja dilakukan pelajar nakal dan tidak berdisplin,” katanya.
Hazidah mendakwa, sebelum ini, kejadian seperti mengguris dan mencalarkan kereta, memancitkan tayar dan membaling mercun terhadap guru di kantin sekolah juga berlaku.
“Kami risaukan keselamatan kami di sekolah ini yang kami rasakan semakin tidak terjamin dan mahu pihak terbabit mengambil perhatian dan tindakan segera bagi mengatasinya.
“Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga perlu mencari jalan menyelesaikan masalah pelajar nakal ini yang semakin menjadi-jadi,” katanya.
Katanya, segelintir pelajar di sekolah berkenaan bukan saja tidak menghormati guru, tetapi sengaja mencari masalah dengan guru walaupun tidak mempunyai masalah ketika guru itu mengajar.
“Nasib baik ketika kejadian, besi terbabit mengenai cermin belakang kereta saya tetapi jika mengenai kepala guru atau pelajar lain boleh membabitkan kecederaan serius,” katanya.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.
Sumber :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/F...cle/indexm_html