:) Komputer riba : Bukan hak milik kekal
PENGGUNAAN komputer riba dan projektor multimedia didapati kurang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah.
Begitulah kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, ketika mengulas kajian kementeriannya mengenai kebimbangan terhadap statistik yang menunjukkan hampir separuh daripada pelajar tingkatan satu dan dua di luar bandar gagal dalam subjek sains dan matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris.
Komputer riba dan projektor multimedia ialah alat kaku yang tidak mempunyai makna kalau tidak diiringi dengan satu proses.
Kita menghargai niat pemberian komputer riba dan projektor multimedia kepada sekolah. Tetapi apakah susulannya?
Saya memberi analoginya seperti berikut: Memberi kereta akan menjadikan seorang tahu memandu.
Menghantar ke sekolah memandu akan menjadikan pemandu faham undang-undang.
Namun, bagaimana sikap pemandu di jalan raya adalah perkara lain.
Mungkin analogi ini tidak tepat, tetapi ia menggambarkan perlunya penambahbaikan dari semasa ke semasa kepada setiap pelaksanaan projek oleh kerajaan, atau ia akan tidak releven dan diketawakan orang sahaja.
Bagaimanakah kita hendak menceritakan apabila seorang guru membawa komputer riba bertanda Hak Milik Kerajaan ke luar negara, ditangkap pihak berkuasa di sana (bersama komputer tersebut) kerana memindah turun perisian lanun cetak rompak di dalamnya?
Adakah ia mentaliti rakyat Malaysia secara umum atau kurang pertanggungjawaban apabila diberi hak milik sementara - tetapi dianggap hak milik kekal itu?
Kita juga mungkin ada melakukan kesilapan. Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora.
Jadi, apakah resipi yang terbaik mengajar bahasa Inggeris?
Pertama banyak bertutur bahasa Inggeris, kedua mendengar dan meniru, dan ketiga, banyak membaca bahan bahasa Inggeris. Aktivitinya ialah mendengar berita di televisyen atau radio dan membawa kamus ke mana-mana.
Cara ini agak evergreen, tetapi terbukti berkesan.
Generasi yang lebih veteren tidak pernah mengunakan CD-Rom, komputer riba dan sebagainya, tetapi mereka boleh bertutur dengan baik.
Apakah resipinya? Pertama, mesti bermotivasi dan mempunyai kesedaran dalaman hendak bertutur dalam bahasa Inggeris sebaik orang lain.
Keduanya, mempunyai pemikiran yang positif terhadap bahasa itu.
Apa yang berlaku sekarang, ada guru yang sanggup bertukar ke sekolah rendah semata-mata tidak mahu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Kenapa? Kerana mereka tidak cukup kompeten dan keberanian.
Guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari!
Jadi apa relevennya memberi komputer dan projektor kepada guru-guru tanpa mengetahui hati budi dan isi hati mereka?
Beri komputer, mereka tentulah seronok. Bukan sahaja seronok, malah menagih lagi, seolah-olah mereka ada `hak' ke atas komputer riba dan projektor.
Akhirnya semua orang mendapat komputer, daripada guru lepasan maktab darjah satu hingga guru Jusa A.
Tiada terpikirkah mereka bahawa kesemua itu adalah hak milik pembayar cukai, iaitu rakyat jelata - petani, nelayan, pesawah, penoreh getah, tukang sapu sampah dan lain-lain yang bergelar `ibu bapa'?
Itu aspek yang mencuit pelaksana dasar.
Perkara kedua ialah guru-guru belum bersedia, secara teknikal dan kreativiti.
Banyak cerita dan `gosip' yang kita dengar sejurus komputer riba dan projektor sampai ke sekolah.
Antara klise yang biasa kita dengar adalah seperti berikut:
1. Pengetua atau guru besar bimbang hilang komputer riba dan projektor. Jadi, ia disimpan di sekolah. Kesannya, guru tidak dapat membawa balik ke rumah untuk membiasakan dirinya dengan teknologi mengajar yang baru itu.
2. Kesukaran oleh guru yang cerewet hendak memulakan pengajaran dengan peralatan yang dianggap `leceh' (seperti memasang soket palam tiga pin, membuat sambungan antara komputer dan projektor, masalah memori komputer, menolak troli dan sebagainya).
3. Operasi teknikal komputer melambatkan proses P&P, dan akibatnya tidak memotivasikan pelajar serta guru.
4. Yang paling terbaru, komputer riba dan projektor kurang meningkatkan kefahaman pelajar.
5. Perisian kursus terpasang semacam hendak menonton wayang. Ini membunuh kreativiti guru.
Sebagai reaksi kepada permasalahan di atas, saya berpendapat eloklah kita memberi peluang kepada guru-guru meluruskan nawaitu terlebih dahulu.
Hal ini selaras dengan kenyataan Hishammuddin (yang dipetik oleh Bernama):
``Apa pun, kita masih lagi di peringkat awal pelaksanaan kita hanya berada pada tahun tiga di sekolah rendah dan tingkatan tiga di sekolah menengah... dan saya rasa terlalu awal memikir semula dasar ini.''
Apa komen anda?
:o