View Full Version: Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Petikan Akhbar > Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006



Title: Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006


cikguonline - March 5, 2007 10:01 AM (GMT)
Nadiah Amirah peroleh 19 1A SPM 2006

Oleh SUNARTI KIBAT

user posted image

CEMERLANG... Nadiah Amirah Jamil yang memperoleh 19 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 menunjukkan 19 kertas soalan mata pelajaran yang diambilnya di Kampung Sungai Tongkang Tambak, Batu Pahat, Johor, semalam. – Gambar Ishak Rahmad.

BATU PAHAT 4 Mac – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 yang akan diumumkan pada 12 Mac ini dijangka menyaksikan satu lagi rekod baru dilakarkan apabila seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah di pekan Rengit dekat sini berjaya memperoleh 19 1A.

Pelajar pintar itu, Nadiah Amirah Jamil, 18, ialah penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon.

Berita kejayaan itu dibayangkan kepada Nadiah Amirah oleh pegawai Kementerian Pelajaran yang menghubunginya pada 24 Januari lalu bagi mendapatkan biodatanya.

Pengumuman kejayaan itu kelak, jika benar, akan memadamkan rekod Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram dekat Johor Bahru yang mendapat 17 1A dalam SPM 2004.

Nadiah Amirah, anak sulung daripada tiga beradik, mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam serta Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST).

Dia juga mengambil subjek Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi Asas, Tasaur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains Teras, Geografi dan Sastera.

Gadis ini sememangnya pelajar pintar sejak di sekolah rendah lagi apabila mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Sungai Tongkang, Rengit.

Keputusan itu melayakkannya meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Kluang dan dia sekali lagi mencatat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Demi cita-citanya untuk memadamkan rekod Nur Amalina yang menjadi idolanya, Nadiah Amirah sanggup meninggalkan segala kemudahan di sekolah berasrama penuh untuk kembali menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar.

Tanpa had

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nadiah Amirah berkata, hanya di sekolah biasa sahaja seseorang pelajar dibenarkan mengambil jumlah mata pelajaran tanpa had dalam peperiksaan SPM.

Katanya, jika dia hendak menyaingi Nur Amalina, dia kena bertukar ke sekolah biasa.

Usaha dan pengorbanannya itu berbaloi dengan kejayaan cemerlang sebagai pelajar tunggal yang memperoleh 19 1A.

Namun apa yang pasti, Johor sekali lagi bakal melahirkan seorang pelajar pintar daripada keluarga sederhana.

Kata Nadiah Amirah: “Keazaman dan cita-cita mengatasi segalanya.”

Bapa Nadiah Amirah, Jamil Omar, 55, ialah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon manakala ibunya, Zakiah Zakaria, 51, mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Rengit.

hartiniazhar - March 5, 2007 11:31 AM (GMT)
:) Pelajar contoh kepada semua pelajar-pelajar sekolah di Malaysia dan pembakar semangat untuk calon-calon SPM 2007!

cikguonline - March 11, 2007 04:38 PM (GMT)
user posted image
NADIAH Amirah Jamil menunjukkan piala yang dimenanginya dalam aktiviti kokurikulum

BELAJAR secara berjadual dan fleksibel merupakan rahsia pencapaian cemerlang Nadiah Amirah Jamil, 18, sebagai pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 dengan memperoleh 19 A.

Lebih-lebih lagi, beliau terpaksa belajar sendiri lapan mata pelajaran tambahan yang diambil bagi mencapai impian memecahkan rekod idolanya, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004.

Lapan mata pelajaran tambahan yang terpaksa beliau belajar sendiri ialah Ekonomi Asas, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran as-sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains, Geografi, Sastera dan Perdagangan.

Sebelas lagi mata pelajaran yang diambil ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam, English For Science and Technology (EST) dan Prinsip Perakaunan.

“Sepatutnya saya nak ambil 21 subjek tetapi ibu melarang kerana katanya 19 subjek sudah cukup membebankan,’’ katanya.

Menyedari mata pelajaran yang diambil bukan calang-calang jumlahnya, pelajar pintar ini terpaksa menyusun jadual secara teliti agar tidak ada satu pun mata pelajaran yang diambil akan ketinggalan dan tercicir dari segi penumpuan.

Anak sulong daripada tiga adik-beradik kepada pasangan guru, Jamil Omar, 55, dan Zakiah Zakaria, 51, ini memberitahu, bagi mengimbangi jadual pembelajaran hariannya yang cukup ketat, beliau akan memberi penekanan yang lebih kepada matapelajaran utama atau penting.

Beliau berkata, bagaimanapun, penekanan kepada mata pelajaran penting ini pada ketikanya akan diubah sekiranya dirasakan perlu dilakukan setelah membuat penilaian terhadap semua pencapaian mata pelajaran dalam peperiksaan penggal.

Katanya, selepas melihat keseluruhan pencapaian, biasanya beliau terpaksa mengubah jadual dengan memberi penekanan pula kepada mata pelajaran yang mengalami kemerosotan.

Tambah Nadiah, beliau perlu memastikan setiap mata pelajaran mencapai keputusan yang seimbang.

“Ini penting bagi menentukan saya boleh mencapai keputusan A1 dalam semua mata pelajaran yang diambil dan jika boleh mencatat markah 100 peratus,” katanya.

“Apabila berlaku keputusan markah yang kurang seimbang tersebut, saya akan mengubah semula jadual belajar iaitu memberi penekanan kepada mata pelajaran yang mengalami kemerosotan,” katanya ketika ditemui MEGA di rumahnya di Kampung Sungai Tongkang Tambak, Batu Pahat, Johor.

Nadiah memberitahu bermula dari tingkatan empat dan percubaan peperiksaan SPM, beliau berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam hampir kesemua mata pelajaran kecuali pernah menghadapi masalah di peringkat awal dalam mata pelajaran perakaunan.

Beliau berkata, oleh kerana perakaunan merupakan satu bidang yang terlalu baru baginya dan ketika mula mengambilnya, keputusan awal tidak begitu memberangsangkan.

Namun beliau berjaya mencapai markah 100 peratus selepas berusaha lebih dan mengikuti kelas tambahan.

Katanya, bagi mata pelajaran yang terpaksa diambil secara sendiri, beliau mengakui banyak menerima bimbingan daripada guru-guru di sekolahnya termasuk ayahnya sendiri yang merupakan guru geografi di sekolahnya.

Di samping itu katanya, beliau melakukan perbincangan dengan rakan-rakan lain yang mengambil subjek yang sama bagi memantapkan lagi kefahamannya.

Nadiah mengakui beliau sebenarnya bukanlah tergolong sebagai pelajar yang mengambil waktu terlalu lama untuk mengulangkaji mata pelajaran selepas waktu kelas di rumah.

Seperti remaja-remaja lain beliau juga turut menggunakan waktu lapang yang ada dengan membaca buku-buku di luar bidang akademik khususnya buku-buku motivasi dan dia amat meminati hasil karya Dr. H.M. Tuah serta buku-buku resipi masakan kerana Nadiah juga minat memasak.

Bagi Nadiah memasak mampu menjana otak untuk menjadi lebih kreatif dan beliau sudah pandai menyediakan nasi goreng untuk diri sendiri ketika di sekolah rendah dan mampu memasak untuk keluarga dan tetamu khususnya nasi ayam ketika berada di tingkatan satu.

Menyentuh mengenai cara belajar lagi, Nadiah memberitahu beliau lebih memberikan tumpuan ketika berada di kelas dan seboleh-bolehnya menyelesaikan masalah yang ada ketika itu juga dengan bimbingan guru-guru.

“Saya jarang berjaga sehingga larut malam untuk mengulangkaji pelajaran di rumah dan biasanya saya akan masuk tidur tepat jam 11 malam,'' katanya.

Bagaimanapun, Nadia mengakui beliau akan bangun lebih awal iaitu kira-kira jam 3.30 pagi untuk bersolat sunat terlebih dahulu, menghafal al-Quran sambil menunggu waktu solat subuh dan kemudian bersiap-siap ke sekolah.

Beliau mengakui melakukan mind setting amat penting bagi mengekalkan tumpuan kepada pelajaran dan pengajaran guru di kelas.

Katanya, apa pun kesulitan termasuk gangguan mengantuk ketika belajar dapat diatasi jika seseorang pelajar mampu menguasai pemikirannya.

“Jika kita kata kita mengantuk, maka kita akan jadi mengantuklah... dan begitulah sebaliknya,” katanya yang mengakui suatu ketika dahulu pernah menjadi seorang gadis yang kuat tidur sehingga mendapat gelaran ‘Ratu Tidur’ di kalangan rakan-rakan sekelasnya gara-gara pernah tertidur dalam kelas dan ketika menjawab soalan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).

Kejayaan dan kecemerlangan Nadiah juga banyak dibantu dengan keyakinannya terhadap kekuatan dan keupayaan menghafal ayat-ayat suci Al-Quran.

Beliau yakin membaca dan menghafal kitab tersebut merupakan kaedah yang baik untuknya untuk sentiasa dapat berfikir dan bertindak secara lebih tenang dan mudah membuat hafalan.

Oleh itu katanya, beliau berusaha menghafal Al-Quran sejak di tingkatan satu dan menjadi amalan hariannya sehingga kini, walaupun dilakukan secara sedikit demi sedikit.

Nadiah kini telah berjaya menghafal lapan surah antaranya Yasin, Al-Mulk, Ar-Rahman, Al-Sajdah, Al-Waqiah dan Luqman.

“Saya menyimpan cita-cita untuk menghafal kesemua juzuk dalam al-Quran kerana yakin ia mampu memberi ketenangan dan menguatkan ingatan,” katanya.

Bersesuai dengan keyakinan terhadap ajaran Allah dapat mambantunya berjaya dunia dan akhirat, Nadiah juga menjadi seorang yang sangat pemilih terhadap persekitaran khususnya muzik yang perlu didengarnya setiap hari untuk menghilangkan kebosanan atau tekanan.

Nadiah mengakui beliau banyak mendengar lagu-lagu nasyid yang baginya sesuai untuk membentuk jiwa seseorang menjadi lembut dan amat meminati Kumpulan Raihan.

“Jika kita sentiasa terdedah dengan lagu-lagu bercorak keras, lama kelamaan jiwa kita juga akan menjadi keras,” katanya yang turut meminati Datuk Siti Nurhaliza dan berharap dapat bertemu dengan penyanyi pujaan ramai itu suatu hari nanti.

Jika mendapat kesempatan, Nadiah memberitahu, beliau berhasrat melanjutkan pelajaran di bidang farmasi kerana beliau mempunyai impian menjadi usahawan berjaya dalam bidang tersebut dengan membuka sebanyak mungkin rangkaian farmasi di dalam dan luar negara.

Katanya, beliau juga berharap dapat melanjutkan pelajaran di bidang farmasi di University of Cambridge, United Kingdom hingga ke peringkat kedoktoran falsafah (PhD) kerana beliau juga bercita-cita menghasilkan ubat yang mampu meningkatkan sel-sel neuron dalam otak manusia.

Nadiah menasihatkan pelajar-pelajar khususnya yang akan mengambil peperiksaan penting agar tidak mengambil jalan singkat untuk berjaya.

Katanya, sikap suka meniru juga merupakan tabiat yang sangat buruk dan boleh menyebabkan sesuatu bangsa itu akan mundur.

“Ingat... di sebalik kesulitan ada kemudahan dan kejayaan itu sangat manis,'' katanya.

Beliau juga mengakui belum mempunyai teman lelaki istimewa kerana baginya ia tidak perlu ketika masih di bangku sekolah kerana tanggungjawab seorang pelajar adalah menuntut ilmu.

Katanya, ketika ini kasih sayang ibu bapa, adik-beradik, guru-guru dan rakan-rakan sudah memadai.

“Saya mempunyai seorang kawan lelaki yang sangat rapat tetapi setakat ‘teman tetapi mesra’,” katanya sambil tersenyum.

Sumber : Utusan Malaysia

hartiniazhar - March 13, 2007 03:06 AM (GMT)
:) Nadiah tetap bersyukur

Oleh SUNARTI KIBAT

NadiaH Amirah Jamil menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada kedua ibu bapanya, Jamil Omar dan Zakiah Zakaria di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Saadon, Rengit, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 12 Mac - Nadiah Amirah Jamil, 18, berkata beliau dan keluarganya bersyukur walaupun tidak memperoleh semua 1A dalam 19 mata pelajaran yang diambilnya pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, beliau dan ibu bapanya tetap gembira dengan pencapaian 18A dan 1B.

Pelajar pintar itu sebelum ini diramal mampu memecahkan rekod Nur Amalina Che Bakri yang mencatat 17 1A dalam SPM.

Nadiah Amirah mengambil slip keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon di Renggit dekat sini pukul 11.30 pagi hari ini.

Anak sulung tiga beradik itu ditemani ibu bapanya, Zakiah Zakaria dan Jamil Omar serta kaunselor keluarganya, Pok Nik Wajis, 50.

Nadiah Amirah memperoleh 14 A1 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Geografi, Sains, Matematik, Perdagangan, Prinsip Akaun, Fizik, Kimia, Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Dia juga memperoleh 4 A2 dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Kesusasteraan Melayu dan Biologi serta B3 dalam English For Science & Technology (EST).

Menurut Nadiah Amirah, dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian memperoleh 19A tetapi dengan pencapaian yang menghampiri sasarannya itu adalah memadai.

Katanya, dia juga tidak perlu berasa tertekan gagal mencapai semua A dalam mata pelajaran yang diambil kerana telah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran dan peperiksaan tersebut.

Malah, katanya, dia tetap akan meneruskan cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran di bidang farmasi di Universiti Cambridge, United Kingdom sehingga ke peringkat kedoktoran dan kembali ke Malaysia untuk menjadi usahawan dengan membuka farmasi yang antara lain menjual produk ciptaan sendiri.

“Saya mahu menyambung pelajaran ke luar negara kerana jauh perjalanan luas pemandangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, bapanya, Jamil yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar sekolah itu berkata, selain bersyukur, beliau sangat berpuas hati dengan kejayaan anaknya itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

‘‘Walaupun tidak jangka mendapat keputusan yang demikian (lebih rendah), semuanya ketentuan Tuhan, saya percaya ada hikmatnya dan yang penting diberkati tuhan,” jelasnya.

Sementara, Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit, Ayub Jamil, ketika menghubungi berkata, walaupun tidak berjaya meraih 19A, kejayaan Nadiah Amirah tetap sangat membanggakan masyarakat di kawasan itu.

Lagi pula katanya, pihaknya difahamkan Nadiah Amirah hanya kurang 1 markah untuk memperoleh keputusan A2 dalam mata pelajaran EST.

‘‘Bagi saya, Nadiah Amirah tetap mendapat 19A dan kecemerlangan beliau tetap akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Ayub berkata, Nadia membuktikan kepada pelajar-pelajar lain bahawa tidak semestinya bersekolah di asrama penuh dan di bandar sahaja boleh berjaya dengan cemerlang.

*Syabas pada adik Nadiah ni tapi kasihan jadi mangsa keadaan oleh suratkhabar yang tak bertanggungjawab.




Baru 15 tahun peroleh 17 1A SPM

Oleh SHARILFUDDIN SAARI

Melisa Sia Yin Ying menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada ibu bapanya, Dr. Edward Sia dan ibunya, Judie Lee Ming Chin selepas diumumkan sebagai pelajar terbaik sekolahnya di Kota Kinabalu, semalam. – Bernama.

KOTA KINABALU 12 Mac – Seorang pelajar di sini, membuktikan usia muda bukan penghalang untuk muncul pelajar terbaik peringkat negeri apabila memperoleh keputusan 17 1A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Melisa Sia Yin Ying, pelajar Sekolah Menengah (SM) Kian Kok hanya berusia 14 tahun ketika mengambil SPM tahun lalu berbanding usia pelajar lain iaitu 17 tahun.

Dia menyambut ulang tahunnya yang ke-15 pada 22 Februari lalu.

Melisa juga pernah ditawarkan lompat kelas pada tahun lima ke tingkatan satu tetapi tidak dibenarkan oleh ibunya.

Menanam cita-cita untuk mengikuti jejak langkah bapanya yang merupakan seorang doktor perubatan, dia mengakui kurang berminat untuk mengulang kaji di rumah.

Sebaliknya, kata Melisa, dia seboleh-bolehnya menghabiskan apa sahaja kerja diberikan di sekolah selain tumpuan sepenuhnya di dalam kelas.

‘‘Apabila sampai di rumah, saya lebih suka mendengar muzik rock kegemaran seperti kumpulan Nikelback dari Kanada dan bermain komputer berbentuk permainan strategi.

‘‘Dengan berbuat demikian saya dapat menenangkan fikiran dan relaks,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini, hari ini.

Melisa ditemani oleh bapanya, Dr. Edward Sia Hock Mung dan ibunya, seorang suri rumah, Judie Lee.

Ditanya tentang jadual mengulang kaji, Melisa berkata, dia tidak mempunyai sebarang jadual belajar yang khusus di rumah.

Katanya, dia hanya menghabiskan masa antara dua dan tiga jam untuk mengulangkaji, kira-kira pukul 8 malam, menjelang peperiksaan SPM.

“Itu pun tumpuan hanya pada subjek yang saya tidak pelajari di kelas yang bukan dalam aliran sains.

‘‘Subjek tersebut ialah Perdagangan, Ekonomi Asas, Pendidikan Seni, Geografi, Sejarah, English Literature, Sains dan English 1119.

‘‘Saya belajar sendiri dan sekiranya tidak faham, saya akan merujuk pada guru keesokannya,” katanya sambil memberitahu dia mengambil tuisyen dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan English Literature.

Katanya, subjek lain yang mendapat A1 ialah Bahasa Inggeris, Melayu, Fizik, Kimia, Biologi, Moral, English for Sains dan Technology, Matematik dan Matematik Tambahan.

Menurut Judie, anak sulung daripada dua adik beradik itu mempunyai caranya tersendiri untuk mengulangkaji pelajaran.

Katanya, meskipun bimbang dengan cara sambil lewa tersebut dan kerap menasihati anaknya itu belajar, namun ia tidak dipedulikan.

‘‘Dia hanya leka dan gemar bermain permainan komputer dan mendengar muzik,” katanya.

Perkara tersebut turut diakui oleh suaminya, yang juga sering menasihatkan anaknya supaya belajar.

Judie berkata, Melisa memasuki tahun satu lebih awal iaitu pada usia empat tahun dan pernah ditawarkan lompat kelas ke tingkatan satu semasa di tahun lima.

‘‘Bagaimanapun, kami tidak menerima tawaran lompat kelas tersebut kerana usianya yang terlalu muda,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengetua SM Kian Kok, Lim Chian berkata, Melisa pernah menerima Piala Emas dalam pertandingan Sains dan Bahasa Inggeris peringkat antarabangsa di New South Wales, Australia pada 2004 dan di Kuala Lumpur pada 2005.

Katanya, Melisa adalah seorang pelajar ‘istimewa’, tekun belajar dan sentiasa mahukan yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukannya.






cikguonline - March 13, 2007 04:50 AM (GMT)
PUTRAJAYA: Nasib Nadiah Amirah Jamil, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon, Rengit, Batu Pahat, yang sebelum ini diuar-uarkan memperoleh 19 A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006, tetapi hanya mencatat 14 A1, mendapat simpati Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.


“Saya sedih dengan apa yang berlaku kepada Nadiah Amirah Jamil,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, semalam.

Beliau mengulas keputusan peperiksaan SPM 2006 Nadiah yang tidak seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan, awal bulan ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar menyiarkan laporan yang mendakwa Nadiah memperoleh 19 1A dalam SPM 2006 dan dikatakan bakal memecahkan rekod pelajar Nur Amalina Che Bakri iaitu 17 1A pada SPM 2004.

Berikutan itu, 50 banting yang tertera ucapan tahniah kepada Nadiah dipasang di bandar Rengit oleh Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim, Dewan Undangan Negeri (DUN), Rengit, bagi memberi penghargaan kepadanya.

Hishammuddin meminta media supaya tidak menggembar-gembur sebarang keputusan peperiksaan seseorang pelajar sebelum pengumuman rasmi dikeluarkan kementeriannya dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

“Tindakan seperti ini boleh memalukan pelajar dan keluarga terutama jika keputusan rasmi menunjukkan pencapaian berbeza.

“Walaupun mengetahuinya lebih awal (keputusan SPM), saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana terikat dengan amanah dan perlu menunggu keputusan rasmi daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia,” katanya.

Sumber : Harian Metro

nicoTyyne - March 16, 2007 12:54 AM (GMT)
KOTA BHARU: Siti Fatimah Mukhtar, 18, yang mendapat 18 A, termasuk 17 1A, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan pada hari Isnin, diisytiharkan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia oleh Kerajaan Kelantan.

Siti Fatimah, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Muhammadi Perempuan di sini, mendapat 1A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Geografi, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Biologi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan English For Science and Technology (EST) dan 2A untuk Bahasa Arab Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi Negeri, Mohd Amar Nik Abdullah berkata pengumuman oleh kerajaan Kelantan itu adalah berdasarkan kepada kecemerlangan keputusan SPM Siti Fatimah yang mengatasi pelajar lain dari seluruh negara.

"Kita cukup terkilan apabila kecemerlangan Siti Fatimah tidak dipandang oleh Kementerian Pelajaran sedangkan sudah terbukti dia seorang pelajar terbaik dan mengatasi semua pelajar lain dari seluruh negara," katanya pada sidang media di SMA Maahad Muhammadi di sini hari ini.


Mohd Amar berkata tindakan Kementerian Pelajaran tidak menamakan pelajar terbaik kali ini juga sesuatu yang amat menyedihkan dan seolah-olah menafikan kejayaan pelajar berkenaan.



"Walaupun beliau bukan pelajar sekolah kerajaan pusat tetapi sistem dan sukatan pembelajarannya adalah dari kementerian, malahan peperiksaan juga di bawah kementerian, jadi kenapa pula tak diiktiraf?" katanya.

Mohd Amar berkata tindakan itu sebenarnya memberi kesan psikologi bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada sekolah dan keluarga mereka.

"Semasa Nur Amalina Che Bakri mendapat 17 A pada tahun 2004 dahulu, heboh seluruh negara mengatakan beliau pelajar terbaik tetapi apabila sampai waktu Siti Fatimah, kata tak ada pelajar terbaik sebaliknya hanya pelajar cemerlang," katanya.


user posted image


kat kelantan pun ada.... tapi apsal yerrrr ;)

hartiniazhar - March 17, 2007 07:33 AM (GMT)
:) Rasenye.....jawapannye tu semue sedie maklum. Tak faham lagi ke.....pelajar dari negeri mane, bukan sekolah kerajaan..... jadi what do you expect? :hmm: Apepun, TAHNIAH adik Siti Fatimah. Teruskan kecemerlangan anda!

CgTni - March 18, 2007 10:20 PM (GMT)
:clap: :clap: :clap: :clap: Tahniah dik!!!

teruskan usahamu itu dlm segala bidang yg diceburi.

nurkamar - March 29, 2007 05:33 PM (GMT)
cemerlang atau tidak...

penentunya di U nanti.

berjaya atau tak...

tunggu time cari keje nanti.

apa pun... TAHNIAH anak MELAYU :clap: :clap: :clap: :clap: :clap: :clap: :clap:




Hosted for free by InvisionFree