View Full Version: Kemahiran Belajar

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Pedagogi/Kaedah/Strategi > Kemahiran Belajar



Title: Kemahiran Belajar
Description: Bagaimana menyampainya di sekolah


hartiniazhar - February 7, 2007 01:49 PM (GMT)
:) KEMAHIRAN Mendengar, Participating dan Mengambil Nota.

3. Kemahiran Mengambil Nota

Dalam memberikan kemahiran mengambil nota, guru hendaklah memastikan pelajar tidak mengambil nota dalam setiap perkara yang dicakapkan. Yang penting, adakah maklumat itu merupakan fakta dan diperlukan pada masa hadapan. Dalam hal ini, pelajar mestilah boleh membezakan maklumat yang penting dan tidak penting. Mereka mestilah menentukan sama ada mereka telah mengetahui maklumat itu atau merupakan maklumat yang baru.

Guru juga mesti menggalakkan pelajar mengambil nota dalam perbincangan-perbincangan formal dan dalam masa yang sama menjadikan kebiasaan kepada mereka untuk menyoal dan memberi pendapat. Selain daripada itu, pada peringkat awal dalam usaha menggalakkan pelajar menggunakan teknik mengambil nota, guru hendaklah memberikan tanda dan cues yang menunjukkan pelajar perlu mencatatkan nota mereka seperti meninggikan suara atau mengulang-ulang semula pertuturannya.

Bagi mengelakkan pelajar menulis nota terlalu panjang, guru hendaklah menggalakkan pelajar menggunakan perkataan mereka sendiri, bentuk simbol, grafik atau peta minda (mind mapping). Bagi mengelakkan terlalu banyak simbol yang mengelirukan, dicadangkan pelajar membiasakan menulis kata kunci atau glossary di bahagian hadapan nota supaya memudahkan mereka mengingati makna simbol-simbol tersebut. Guru juga perlu menggalakkan pelajar menggunakan pen dan bukan pensel dalam menulis nota. Ini untuk memastikan nota tersebut dapat digunakan dalam jangka masa yang panjang. Nota juga hendaklah ditulis pada sebelah muka sahaja kerana muka sebelah lagi pada buku dibiarkan kosong untuk memudahkan pelajar membuat catatan baru, menambah fakta atau digunakan semasa membuat ulang kaji.

Di samping itu, guru juga boleh mengingatkan pelajar bahawa kebiasaannya pada waktu terakhir guru mengajar adalah masa yang yang penting dalam sesuatu pengajaran dan perlu diberi perhatian. Ini disebabkan guru akan membuat kesimpulan, rumusan atau menyenaraikan kembali isi pelajaran daripada awal hinggalah ke penghujung pengajarannya. Inilah masanya pelajar perlu memberi tumpuan dan mencatatkan fakta-fakta yang disimpulkan oleh guru.

Bagi tujuan kemudahan memfail atau menyimpan nota walaupun tidak begitu penting pelajar perlulah diingatkan supaya menulis nama mata pelajaran, tarikh, masa dan nama guru pada bahagian atas nota mereka. Tindakan bertujuan memudahkan pelajar mendapatkan kembali nota tersebut walaupun telah berlalu sekian lama dan dalam masa yang sama mendidik pelajar supaya kerja-kerja mereka sentiasa kemas dan bersistem.

Dalam penyediaan nota yang baik, ada pendapat yang menggalakkan pelajar menggunakan the Cornell method. Kaedah cornell ini ialah dengan menggunakan kertas saiz A4 atau A5 dengan membahagikannya dua bahagian. Bahagian kanan digunakan untuk mencatat nota sementara yang disebelah kiri dibiarkan kosong dengan tujuan untuk mencatat maklumat tambahan semasa membuat ulang kaji. Kaedah ini didapati sangat berkesan terutama bagi mereka yang mempunyai pencapaian sederhana kerana pelajar masih boleh mencatatkan fakta tambahan atau ulangan dalam nota yang sama pada bila-bila masa.

Kemahiran mendengar, participation dan mengambil nota ini perlu disampaikan kepada pelajar secara terancang. Pihak pengurusan sekolah hendaklah menekankan aspek ini dalam program perkembangan staf dan aktiviti kokurikulum. Aspek ini perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada kemahiran yang merentasi kurikulum. Guru-guru dan kaunselor perlu dilatih dan digalakkan mereka menterjemahkan kemahiran tersebut dalam tugas harian mereka supaya ia menjadi sebahagian daripada budaya sekolah berkenaan.

Kemahiran Membaca

Tujuan utama guru menyampaikan kemahiran membaca kepad pelajar semenjak di prasekolah ialah untuk membolehkan mereka membaca dengan baik. Kemahiran ini melibatkan proses decoding iaitu membolehkan pelajar menggunakan pelbagai teknik bacaan seperti membaca secara kuat, membaca senyap, menjawab soalan dan menyiapkan latihan bertulis berpandukan teks yang dibaca.

Dalam kemahiran membaca ini, banyak kemahiran lain yang akan turut terlibat sekiranya dilaksanakan dengan baik seperti kemahiran participation, bertutur, mendengar, menulis dan kemahiran pengurusan kendiri. Bagi guru yang berpengalaman, mereka akan memberikan perhatian khusus kepada kemahiran ini dan memastikan pelajar-pelajar mereka menguasainya kerana kemahiran ini memberi kesan kepada pembelajaran pelajar pada masa akan datang.

1. Memahami isi kandungan

Kemahiran membaca ini agak kompleks kerana turut melibatkan kemahiran comprehension atau memahami apa yang dibaca secara menyeluruh. Persoalan yang selalu ditanya ialah bagaimana pelajar boleh mendapatkan ilmu dan pengetahuan melalui pembacaan dan bagaimanakah ia dicerakinkan atau bagaimanakah pelajar menyenaraikan pemahaman apa yang dibacanya selaras dengan fakta-fakta yang diajar oleh guru.

2. Struktur Buku Teks

Sesungguhnya setiap buka teks mempunyai kelainan dari segi isi kandungan, tajuk, struktur penulisan dan stail penulisan. Misalnya buku Bahasa Melayu tidak sama dengan buku Matematik, buku Sejarah berlainan dengan buku Fizik dan begitulah dengan buku-buku mata pelajaran yang lain. Semua buku ini akan mencabar minda dan keupayaan pelajar untuk memahami isi kandungannya.

3. Memahami Fakta

Guru-guru juga perlu menyedari bahawa apa yang dibaca oleh pelajar daripada sehari ke sehari semakin sukar dan mencabar. Misalnya, semasa pelajar di sekolah rendah mereka perlu memahami fakta-fakta asas sahaja seperti nama, tarikh, tempat, peristiwa dan angka. Apabila masa berubah, mereka perlu meningkatkan pemahaman mereka kepada fakta saintifik, bahasa asing dan pengkomputeran. Kemudian lebih mendalam lagi, pelajar perlu tahu apakah maksud tersurat atau tersirat oleh pengarang, memberi pendapat kepada sesuatu isu atau membuat kesimpulan daripada hasil pembacaan mereka. Dengan kata lain, pelajar perlu mengetahui banyak perkara, mengingat fakta dan menulis kembali berpandukan soalan. Oleh itu, pelajar perlu digalakkan membuat rujukan melalui perpustakaan, internet, akhbar, majalah dan dokumen-dokumen. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab guru untuk menyebarluaskan kemahiran-kemahiran mendapatkan maklumat baru itu kepada pelajar mereka.

Adalah dianggap tidak memadai jika guru memberikan kemahiran membaca ini dengan hanya melalui kaedah how to read tetapi tidak menekankan how to read to learn. Misalnya, semasa mengajar mata pelajaran Sejarah, guru meminta pelajar membaca buku teks daripada muka surat 142 hingga 156. Guru akan merasa puas dan berjaya mengajar apabila dapat menerangkan ayat terakhir daripada muka surat 156 itu. Sepatutnya guru hendaklah membuat lebih daripada itu dengan melatih pelajar mendapatkan fakta, memahami fakta dan mengingat semua fakta melalui pembacaan pada muka-muka surat tersebut.

a. Membuat kesimpulan

Satu lagi kaedah yang digunakan ialah summarising a reading passage dan ianya melibatkan proses kognitif. Tiga proses yang terlibat ialah, pertama menentukan maklumat yang penting dalam teks, kedua mengenal pasti konsep umum yang bertahap tinggi dan tahap rendah, dan ketiganya menulis kesimpulan. Kaedah ini kebiasaannya digunakan oleh pelajar kolej atau universiti tetapi tidak salah jika diperkenalkan kepada pelajar sekolah lebih awal.

b. Memantau Fakta Semasa Membaca

Monitoring comprehension while reading merupakan satu kaedah lagi yang melibatkan minda bekerja semasa membaca atau dikenali sebagai metacognition. Kaedah ini melihatkan dua kemahiran iaitu kebolehan mengenal pasti fakta semasa membaca dan keduanya kebolehan memilih fakta menggunakan strategi membetulkan kesilapan. Pembaca yang baik biasanya memahami bahan yang dibacanya. Sekiranya ia gagal mendapat fakta yang diperlukan maka mindanya akan bekerja untuk mencari kesilapan dan kesukaran di dalam teks serta berusaha untuk mencari jawapannya.

Teknik menyoal sambil membaca daripada teks akan dapat membantu menguasai kemahiran ini. Kebanyakan buku teks telah menyediakan soalan-soalan pada bahagian akhir sesuatu bab. Namun pelajar masih boleh menyediakan soalan sendiri secara dalaman melalui minda ketika sedang membaca.

c. Membaca cepat

Pelajar juga perlu diajar kaedah membaca dengan cepat kerana dijangkakan pelajar yang baik akan membaca lebih banyak bahan dibandingkan pelajar lain. Purata pembacaan pelajar ialah antara 130 hingga 250 perkataan seminit. Sudah tentu pelajar yang boleh membaca lebih 300 patah perkataan seminit akan menjadi lebih baik.

Memperkenalkan kaedah SQ3R Reading Strategy (Gall, 1990) kepada pelajar adalah langkah yang bijak. Kaedah ini melibatkan lima langkah iaitu, Survey (tajuk teks), As Question (menjadikan tajuk sebagai soalan), Read (membaca untuk menjawab soalan), Recite (menyediakan nota ringkas) dan Review (membaca semula nota, menyediakan soalan sendiri dan menjawabnya).

Selain itu, menggunakan kaedah Reciprocal Teaching Reading Strategy (Gall, 1990) juga boleh diperkenalkan kepada pelajar. Kaedah ini dilaksanakan melalui empat aktiviti pertama menghasilkan soalan sendiri tentang isi teks berkenaan. Kedua ialah membuat kesimpulan daripada pembacaan, ketiga menerangkan maklumat daripada teks dan keempat menjangkakan apakan soalan lain yang boleh ditanya hasil daripada maklumat yang telah dibaca. Pelajar-pelajar hendaklah digalakkan menyediakan soalan-soalan tersebut daripada setiap pembacaan mereka sama ada teks yang pendek atau panjang dan membiasakan diri menjawab semula soalan-soalan tersebut.

KESIMPULAN

Kemahiran-kemahiran yang dinyatakan tadi boleh disampaikan kepada pelajar melalui program dan aktiviti yang diatur oleh pengetua atau guru besar. Semua guru perlu dilibatkan supaya maklumat tersebut sampai kepada semua warga sekolah. Ramai pegawa-pegawai di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang tersebut berusahalah untuk mendapatkan khidmat mereka kerana saya yakin mereka akan sedia membantu.

Jemaah Nazir Sekolah berpendapat, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan sekiranya guru-guru dapat menyampaikan ilmu dan pelajar-pelajar dapat menerimanya melalui kemahiran-kemahiran yang sedia ada dalam diri mereka. Pembelajaran yang menggunakan pelbagai kemahiran belajar akan menjadikan pendidikan lebih menarik dan merangsang pelajar mengejar ilmu pengetahuan secara optimum. Ini akan menjadikan sekolah-sekolah kita sebagai pusat kecemerlangan yang menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar.




Hosted for free by InvisionFree