100 murid kena sengat tebuan
Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
KLANG: Kenakalan beberapa murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas, di sini, membawa padah apabila kira-kira 100 rakan mereka disengat tebuan ketika menyertai latihan merentas desa, pagi semalam.
Kumpulan murid sesi pagi seramai lebih 1,000 orang memulakan larian dari sekolah mereka kira-kira jam 8.30 pagi dan dilepaskan secara berperingkat.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Sri Andalas, Halim Mohd, berkata dia difahamkan pada peringkat pertama, pihak sekolah melepaskan murid tahun empat, diikuti tahun lima sebelum diakhiri tahun enam.
"Ada dua murid tahun empat ternampak sarang tebuan di atas sebatang pokok dan mereka membalingnya dengan batu atau kayu.
"Apabila nampak tebuan keluar, mereka melarikan diri dan tidak lama kemudian murid tahun lima dan enam yang tiba di bawah pokok itu menjadi sasaran sengatan tebuan," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.
Difahamkan, sebaik menyedari serangan serangga berbisa itu, pihak sekolah segera membatalkan latihan merentas desa dan membawa murid yang terkena sengatan kembali ke sekolah.
Pihak HTAR juga segera dimaklumkan kejadian itu sebelum empat atau lima ambulans bersama pegawai perubatan dikejarkan ke sekolah berkenaan kira-kira 15 minit kemudian. Murid yang cedera agak serius atau memerlukan rawatan lanjut dibawa ke hospital berkenaan.
Halim berkata, latihan merentas desa itu dibuat supaya murid tahu laluan yang perlu diikuti pada pertandingan sebenar beberapa hari lagi.
Katanya, murid tahun empat, lima dan enam dijadualkan berlatih pada waktu pagi, manakala tahun satu, dua dan tiga pada sebelah petang.
Difahamkan, dua murid yang bertanggungjawab memulakan kekecohan itu sudah diambil keterangan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Anak Halim, Mohd Iddin Rais, 11, yang turut disengat tebuan berkata, ketika berlari bersama beberapa rakannya, sekumpulan tebuan berterbangan berhampiran sebatang pokok dan menyerang mereka.
"Kami lari bertempiaran tapi ramai yang disengat. Ada yang kena di kepala, belakang dan badan," katanya di wad kecemasan HTAR, semalam.
Murid tahun enam, Muhammad Hasif Ishak, 12, pula berkata dia terasa sesuatu menyengat di kepalanya dan segera mengibas-ngibas sambil melarikan diri.
"Mula-mula tak rasa sakit, tapi kira-kira 20 minit kemudian baru rasa berdenyut," katanya.
Muhammad Hasif adalah seorang daripada empat murid SK Taman Sri Andalas yang dimasukkan ke wad HTAR untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengarah HTAR, Dr Yahya Baba, berkata daripada kira-kira 100 murid yang terkena sengatan, empat dimasukkan ke wad, manakala 48 mendapat rawatan pesakit luar.
"Sepasukan doktor dan jururawat HTAR yang dihantar ke sekolah itu pula merawat 51 murid lagi. Empat murid yang dimasukkan di wad makin sembuh dan tidak membimbangkan," katanya.
Guru Besar SK Taman Sri Andalas, Kamarudin Mohd Yassin, ketika ditemui enggan memberi sebarang komen kerana perlu memberikan laporan penuh kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) terlebih dahulu.
"Saya minta maaf. Harap anda semua faham. Saya akan menghantar laporan kejadian ini kepada PPD dalam waktu terdekat," katanya.
yg tak lena tidur skrg semestinya s/u sukan sekolah tu...
moga moga takde sape la yg akan dipersalahkan selepas selesai siasatan ni. aminnnnn~~~~~~~~~