View Full Version: Murid maut dirempuh bas

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Petikan Akhbar > Murid maut dirempuh bas



Title: Murid maut dirempuh bas


cikguonline - January 12, 2007 02:15 PM (GMT)
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

RAWANG: Seorang murid tahun dua maut selepas dirempuh bas sekolah ditumpanginya hanya seminit selepas turun dari pintu kenderaan terbabit bersama beberapa rakan di pekarangan sekolahnya, pagi semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi semalam, mangsa Chong Mun Ni, 7, cedera parah di kepala selepas terhempas ke atas jalan.

Sebelum kejadian, mangsa yang bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sam Yong di sini, menaiki bas sekolah terbabit dari rumahnya di Country Home, dekat sini.

Sumber polis berkata, sebaik tiba di pekarangan sekolah, mangsa dan rakannya turun menerusi pintu sebelah kiri bas terbabit.

Menurutnya, pemandu bas terbabit kemudian cuba melakukan pusingan U untuk keluar dari kawasan sekolah berkenaan sebelum terlanggar mangsa.

“Difahamkan mangsa dilanggar bahagian kanan bas menyebabkannya terjatuh atas jalan.

“Mangsa, anak kedua dari lima beradik, dibawa seorang pekerja kantin dengan menaiki van ke Hospital Selayang,” katanya.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan mati setiba di hospital sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

“Pemandu bas lelaki itu yang berusia 50-an ditahan polis untuk diambil keterangan manakala bas sekolah itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kantin sekolah terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sun, 40-an berkata, dia ternampak orang ramai berkumpul di pekarangan sekolah sebaik tiba sekitar jam 6.45 pagi.

“Saya kemudian meninjau dan mendapati orang ramai berkerumun melihat tubuh pelajar terbabit yang terbaring tidak sedarkan diri berlumuran darah. Saya kemudian bertanya mengapa pelajar itu tidak dibawa segera ke hospital, namun mereka memberi alasan tidak mempunyai kenderaan.

“Berikutan itu, saya dibantu pemandu bas terbabit segera mengusung pelajar berkenaan masuk ke dalam van sebelum dihantar ke klinik berhampiran,” katanya.

Menurutnya, doktor di klinik terbabit bagaimanapun menasihati mangsa segera dibawa ke hospital berikutan denyutan jantungnya semakin lemah.

“Bagaimanapun, keadaan jalan menuju ke Hospital Selayang dari Rawang sesak ketika itu menyebabkan keadaan bertambah cemas.

“Namun, saya bernasib baik kerana terserempak sebuah kereta peronda polis sebelum meminta bantuan daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, anggota polis terbabit kemudian membantu mengiringi mereka hingga ke hospital.

“Selepas itu saya kembali ke sekolah dan setengah jam kemudian menerima panggilan telefon dari pihak hospital memberitahu mangsa gagal diselamatkan,” katanya.

Sementara itu anggota Exco kerajaan Selangor, Datuk Tan See Hang yang melawat keluarga mangsa di hospital meminta pihak polis melakukan siasatan mendalam terhadap nahas itu.

Menurutnya, semua sekolah perlu menjadikan kemalangan itu satu pengajaran dan berusaha menitikberatkan keselamatan murid.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/F...cle/indexm_html




Hosted for free by InvisionFree