:) APABILA topik pendidikan awal dibincangkan, penulis terkenangkan zaman kanak-kanak. Ketika mencecah tujuh tahun, kedua-dua ibu bapa bercadang menghantar penulis ke sekolah aliran Cina kerana mereka tertarik dengan kumpulan pancaragam sekolah yang amat jarang sekali terdapat di sekolah rendah kebangsaan.
Tetapi, hasrat itu dibatalkan kerana menerima tentangan daripada kenalan rapat mereka yang beranggapan, penulis tidak akan menerima pendidikan agama Islam dengan secukupnya.
Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar masyarakat masih memiliki persepsi berbeza dalam melihat keperluan pendidikan akademik sebagai entiti berasingan daripada pengajian Islam. Secara tidak langsung, mereka menganggap pengajian agama bukanlah sesuatu yang bersifat akademik dan tidak perlu dipelajari secara formal. Wujudnya perasaan skeptikal di kalangan ibu bapa dan anggota masyarakat sedikit sebanyak boleh merencatkan pendidikan awal anak-anak.
Dalam keadaan cabaran dan masalah yang begitu menekan generasi muda kini, keseimbangan pendidikan amat diperlukan. Keseimbangan pendidikan antara pendidikan berbentuk keperluan hidup di dunia (pendidikan duniawi) seperti sains dan teknologi, matematik, fizik, biologi, alam sekitar, kemanusiaan dan sebagainya dengan pendidikan berbentuk kerohanian bagi keperluan hari akhirat (pendidikan ukhrawi) seperti pendidikan agama Islam, moral, psikologi dan jiwa amat perlu dititik beratkan.
“Kita tidak boleh katakan bahawa belajar matematik, sains dan bahasa Inggeris sebagai akademik dan agama bukan akademik. Kedua-dua keperluan ini tidak boleh dipisahkan. Salah tanggapan akan menyebabkan, orang tidak mahu belajar agama kerana ia bukan sebahagian daripada keperluan akademik.
Sedangkan, pengajian Islam merupakan sebahagian daripada pendidikan akademik yang harus diterapkan ketika anak-anak masih kecil,” begitu pendapat Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fariza Md. Sham.
Kesepaduan pendidikan di negara ini terbukti dengan terlaksananya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang menekankan konsep kesepaduan antara keperluan dunia dan akhirat. Demi kehidupan pada masa hadapan, pelajar perlu diberi ruang untuk menguasai matapelajaran matematik, sains dan bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, keperluan pendidikan agama tetap diutamakan.
Menurut beliau, pendidikan awal anak-anak lebih penting kerana Islam amat menekankan penerapan nilai-nilai agama. Ini dapat dilihat pada saat kelahiran bayi di mana mereka diazan dan diiqamatkan supaya perkataan pertama yang didengarinya adalah memuji kebesaran Allah s.w.t.
Berdasarkan kepada psikologi Islam, manusia mempunyai dua kecenderungan yang disebut al-Nafs (jiwa). Sekiranya pendidikan awal yang diterima anak-anak cenderung kepada nilai-nilai negatif, maka mereka akan membesar dalam ruang lingkup yang berbeza dengan anak-anak yang diberi penekanan agama.
Tidak tepat
Tanpa keseimbangan pendidikan, ini akan melahirkan generasi yang kaya dengan keterampilan, berilmu dan cerdik tetapi miskin dari segi akhlak dan sahsiah. Sekiranya sistem terlalu memberatkan soal pendidikan kerohanian sehingga meninggalkan keperluan pendidikan untuk menjalani kehidupan di dunia, ia akan melahirkan generasi yang kaya akhlak dan sahsiah tetapi kurang dari aspek keilmuan dan keintelektualan yang berkaitan dengan ilmu dunia.
Selama-lamanya umat Islam akan bergantung dengan orang bukan Islam. Keadaan ini juga tidak boleh diabaikan kerana soal pengurusan hidup manusia di dunia ini seperti perubatan, pengangkutan, pakaian, pemakanan dan sebagainya juga menjadi tanggungjawab orang Islam.
“Adalah tidak tepat apabila ibu bapa bertindak memberi penekanan kepada pendidikan duniawi dan mengabaikan aspek agama. Ini akan melahirkan manusia yang tidak seimbang. Tidak salah sekiranya, ibu bapa mencari tadika yang boleh menawarkan pendidikan agama dan bahasa Inggeris. Begitu juga ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak mereka belajar muzik dan sebagainya asalkan tidak abaikan subjek agama,” jelas beliau yang mengkhusus kepada psikologi dakwah.
Bagaimanapun, jika dibandingkan antara ilmu muzik, ilmu tarian dan nyanyian dengan ilmu agama sudah pasti ilmu agama perlu diutamakan. Ibu bapa perlu melihat keutamaan dan kepentingan dari sudut keperluan ini. Seperti mana hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud; Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan ia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama.
Lepas tangan
Bagi memastikan pendidikan agama mampu melahirkan individu yang berwibawa, beliau menyarankan agar pengusaha-pengusaha sekolah agama meningkatkan kepakaran akademik dan pengurusan yang sistematik agar keseimbangan antara akademik dan agama dapat diwujudkan.
“Inilah cabaran yang harus dipikul oleh pengusaha sekolah agama. Jika boleh, jadilah sekolah agama yang sistematik kerana ia melambangkan imej Islam. Contohnya, di Britain ada sekolah pengajian tahfiz al-Quran tetapi diuruskan dengan sistematik dari segi kemudahan dan kepakaran tenaga kerja. Di Malaysia pula, contoh terbaik dapat dilihat pada penubuhan Darul Quran di mana matlamat dan objektifnya jelas untuk melahirkan golongan yang mahir al-Quran,” katanya.
Beliau turut menegur sikap lepas tangan sesetengah ibu bapa yang suka menghantar anak-anak mereka yang bermasalah ke sekolah pondok. Tindakan ini tidak wajar kerana ia hanya membebankan pihak sekolah dan guru-guru. Sekolah hanya bertindak sebagai tempat mengawal tetapi peranan ibu bapa di rumah lebih penting.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pendidikan agama yang diterapkan di sekolah tidak selari dengan di rumah. Paling utama, sikap ibu bapa yang tidak mampu memberikan contoh dan teladan yang baik dan keterbukaan mereka terhadap hubungan sosial anak-anak.
“Kita juga suka memandang rendah pada orang yang berlatar belakangkan pendidikan agama dan tidak mengangkat kejayaan mereka seperti mana kita mengiktiraf kejayaan saintis dan sebagainya. Betapa nilai yang rendah diletakkan pada orang lulusan agama turut menyumbang kepada ketidakseimbangan keperluan pendidikan,” ujar beliau.
Katanya, ketidakseimbangan ketara yang boleh dilihat ialah melalui dua program realiti, Akademi Fantasia (AF) dan Akademi al-Quran (AQ). Juara AF diangkat sebagai idola hingga diiktiraf sebagai duta belia manakala juara AQ seolah-olah ‘sepi’ dan semakin dilupakan.