:) COKLAT bersifat afrodisiak. Coklat boleh menaikkan nafsu syahwat! Sama ada kita percaya atau tidak, dakwaan seperti ini pasti mampu menarik perhatian ramai.
Seperti makanan dan ubat-ubatan lain, dakwaan keupayaannya meningkatkan daya seksual membuatkan ia laris dijual di pasaran. Lihat saja minuman Tongkat Ali dan segala produk lain yang berkaitan dengannya.
Tiada kajian kukuh menunjukkan keupayaan herba ini dalam merangsang daya seksual seseorang kecuali ia mampu melancarkan peredaran darah, namun kepercayaan ramai akan hubungannya dengan aspek seksual, membuatkan ramai yang tidak ragu-ragu meminumnya, setiap hari, setiap masa.
Dakwaan coklat sebagai afrodisiak bukan baru. Sejak beribu tahun lamanya, coklat, yang dihasilkan daripada biji koko dikatakan mempunyai `kuasa' ini. Maharaja Montezuma ketika zaman Aztec (1250-1521) dikatakan minum 50 cawan coklat atau lebih setiap hari, untuk meningkatkan stamina sebelum `bersama' dengan pasangannya. Perkara ini turut diamalkan warga atasan Aztec ketika itu, malah mereka dikatakan membawa amalan ini ke Eropah.
Casanova, pencinta terhebat, juga dikatakan meminum coklat setiap hari untuk meningkatkan tenaga berahinya. Malah, dia dikatakan memilih coklat berbanding champagne bagi meningkatkan nafsu syahwat!
Zaman berlalu, kepercayaan bahawa coklat sebagai ramuan cinta yang hebat terus utuh. Malah, coklat bukan saja diminum atau dimakan untuk `meningkatkan' rangsangan seksual diri malah diberikan kepada seseorang dengan tujuan menggoda atau meluahkan perasaan kasih sayang dan berharap cinta akan berbalas.
Hari ini, selepas lebih 2,000 tahun coklat ditemui, masih ramai yang mempercayai kehebatan coklat sebagai message of love, luahan kasih sayang dan saintis juga dari semasa ke semasa tidak bosan-bosan mencungkil kebenaran dakwaan ini.
Kajian mendapati coklat mengandungi phenylethylamine (PEA), bahan kimia serupa yang dihasilkan otak ketika seseorang berasa seronok atau nikmat. PEA adalah bahan perangsang seksual dan ia juga dikatakan bertanggungjawab merangsang perasaan yang wujud apabila kita jatuh cinta.
Kerana itu, setiap kali apabila memakan coklat kita akan berasa seronok dan nikmat. Namun, untuk mengaitkannya dengan keupayaan seksual, masih terlalu awal. Belum ada bukti kukuh mengenainya. Tambahan pula, kajian mendapati PEA dalam makanan tidak kekal lama dalam sistem badan.
Apapun penemuan, satu perkara yang pasti, coklat hari ini adalah bahan penting dalam pelbagai jenis makanan - kepingan coklat, biskut, kek juga minuman sama ada panas mahupun sejuk.
Keenakan dan keseronokan, kenikmatan memakan atau meminumnya memang tidak dapat dinafikan lagi dan disebabkan ciriciri ini, tidak hairan mengapa ia bahan yang amat sesuai dijadikan hadiah, terutama buat yang tersayang.
Cubalah memberi coklat sebagai hadiah kepada yang tersayang hari ini. Anda pasti kagum dengan hasilnya...
Buah tangan untuk semua...
BUDAYA memberi coklat sebagai hadiah boleh dikira masih baru tetapi mulai diterima baik.
Jika dulu, bunga dan kad ucapan sering kali menjadi pilihan buat yang tersayang, pemberian coklat kini mengambil tempat, untuk apa juga acara.
Hari perayaan, ulang tahun perkahwinan, hadiah sempena kelahiran bayi juga hantaran majlis perkahwinan, atau sekadar sebagai penyata rasa cinta buat pasangan.
Namun, tidak kurang juga yang masih berkira-kira untuk menghadiahkan coklat, lebih-lebih jika membabitkan coklat berjenama, yang dijual di butik, ala-ala butik pakaian.
Jangan bimbang mengunjungi butik coklat yang dilewati kala menjejakkan kaki ke pusat beli-belah. Memang, melihatkan hiasan dalamannya, hati terdetik, pasti harga coklat yang ditawarkan begitu mahal, namun hakikatnya tidak begitu.
Pengurus Besar rangkaian Patchi Malaysia, Jessica Yeoh, berkata coklat yang ditawarkan butik Patchi amat berpatutan.
Pada harga antara RM16.90 dan RM19.60, pengunjung boleh memiliki 100 gram daripada hampir 60 jenis coklat yang ada di Patchi dan jika mereka mahukannya dalam bungkusan yang menarik, ia boleh dimiliki pada harga serendah RM28.
"Coklat adalah makanan yang sepatutnya dinikmati, tidak kira siapa juga. Bagi yang berada, mereka boleh beli banyak dengan bungkusan yang besar juga mahal dan mereka yang kurang berkemampuan, kita menyediakan bungkusan yang mudah dan harga berpatutan tanpa berkompromi dengan kualiti coklat," katanya.
Harga paling mahal? Tiada had, mungkin RM4,000; RM5,000 atau RM10,000, terpulang kepada pelanggan, tambah Jessica, bergantung kepada jenis bekas yang dipilih, sama ada bakul, kaca, kotak mahupun kristal yang dibuat khusus untuk Patchi.
Sebagaimana pentingnya kualiti coklat, Patchi juga memberi penekanan kepada kualiti bungkusan coklatnya. Tidak hairan jika Patchi ada satu bahagian khas iaitu bahagian kreatif dan operasi, yang bertanggungjawab mencipta dan merekabentuk gaya pembungkusan menarik.
"Setiap kakitangan terbabit diingatkan supaya menyediakan bungkusan itu seperti pertama kali melakukannya. Ia mesti bagus dan mampu meninggalkan kesan yang hebat, kesan `WOWW' kepada penerimanya," kata Jessica.
Menarik bukan? Bayangkan jika anda menerima bungkusan coklat yang hebat seperti ini. Pasti hati berbunga gembira, begitu juga jika mereka yang menerima hadiah ini daripada anda.
Khasiat coklat
JANGAN makan coklat, tak elok, nanti gemuk! Anda pasti biasa mendengar atau menggunakan kata-kata `larangan' ini kerana percaya, coklat bukan satu makanan yang menyihatkan.
Ramai percaya memakan coklat boleh menggemukkan, menyebabkan kencing manis, gigi rosak dan 1001 jenis penyakit yang lain sehinggakan ramai yang bercatu-catu ketika memakan coklat.
Itu kepercayaan ramai orang namun kajian menunjukkan sebaliknya. Coklat didapati tidak menyebabkan kencing manis, gigi rosak, paras kolesterol meningkat atau penyakit jantung malah percaya atau tidak, coklat dikatakan dapat memanjangkan usia penggemarnya!
Mereka yang gemar memakan coklat dikatakan dapat hidup satu tahun lebih lama berbanding mereka yang tidak memakannya. Menarik bukan?
Penyelidik dari Universiti Harvard mendapati coklat mengandungi bahan kimia yang membantu mengekalkan keanjalan saluran darah dan meningkatkan kandungan flavonoid dan antioksidan dalam darah, bahan yang dapat menghalang penyakit kardiovaskular serta menghalang atau melambatkan kerosakan sel dan tisu badan.
Ini sekali gus memanjangkan usia dan dengan lebih 300 bahan kimia di dalamnya, banyak lagi kebaikan coklat.
Jangan makan coklat berlebihan! Seperti juga makanan yang lain, pengambilan berlebihan mungkin memudaratkan.
10 perkara perlu tahu mengenai coklat
1- Coklat TIDAK menyebabkan gigi rosak.
SATU kajian yang dijalankan Universiti Osaka, Jepun mendapati koko mengandungi agen antibakteria yang menghalang kerosakan gigi. Bagaimanapun, kandungan gula dalam coklat menjejaskan fungsi agen ini sekali gus menyebabkan kerosakan gigi.
2- Coklat TIDAK merangsang pertumbuhan jerawat.
PENYELIDIK Fakulti Perubatan Pennsylvania dan US Naval Academy menyebut pengambilan coklat tulen tidak menyebabkan jerawat atau memberi apa-apa kesan kepada keadaan kulit. Malah, kebanyakan doktor percaya jerawat tidak mempunyai sebarang kaitan dengan corak pemakanan. Bagaimanapun, masalah jerawat boleh berlaku jika coklat itu mengandungi susu.
3- Kandungan kafein dalam coklat tidak menyebabkan rasa resah.
KOKO mengandungi bahan perangsang seperti kafein dan theobromine tetapi dalam kuantiti yang kecil dan semakin berkurang ketika proses penghasilan coklat. Kajian mendapati 1 auns (28.3 gram) coklat pahit mengandungi 5 ke 10 miligram (mg) kafein dan 10 mg kafein pada 170 mililiter (ml) cawan koko berbanding 100-150 mg kafein dalam 220 ml cawan kopi. Anda perlu makan lebih daripada sedozen coklat untuk mendapatkan jumlah kafein yang sama dengan secawan kopi. Satu kajian lagi mendapati, bau coklat boleh mewujudkan rasa tenang (menerusi rangsangan gelombang theta pada otak).
4- Coklat TIDAK menyebabkan kepala pening.
TIADA bukti kukuh bagi menyokong pendapat ini. Bagaimanapun, ada kajian berpendapat coklat merangsang pening kepala, terutama pesakit migrain.
5- Coklat TIDAK meningkatkan paras kolesterol.
KAJIAN oleh Mayo Clinic mendapati coklat mengandungi asid stearik, sejenis lemak neutral yang tidak menyebabkan peningkatan kolesterol tidak sihat (LDL). Malah, lemak koko dalam coklat mengandungi asid oleik, sejenis lemak mono tak tepu, yang juga ditemui pada minyak zaitun. Ia sebenarnya meningkatkan kandungan lemak sihat yang diperlukan badan (HDL).
6 Coklat BUKAN makanan yang tidak menyihatkan.
COKLAT mengandungi pelbagai khasiat walaupun dalam kuantiti yang kecil. Sekeping coklat susu (1.5 auns (42.45 gram)) mengandungi 3 gram (g) protein; 15 peratus daripada jumlah pengambilan harian riboflavin; 9 peratus kalsium dan 7 peratus zat besi.
7- Coklat TIDAK mengawal tingkah laku dan mood.
PENYELIDIK di Neurosciences Institute, San Diego, California melaporkan coklat mengandungi bahan yang mengawal mood atau tingkah laku seseorang.
Bahan ini dikatakan memberi kesan seperti marijuana, yang merangsang tindak balas fizikal dan psikologi. Bagaimanapun, kandungan bahan dalam coklat adalah kecil dan tidak menyebabkan tindak balas berkenaan kecuali jika ia coklat dimakan berlebihan - melebihi 25 paun (11 kilogram) coklat sekali makan. Bahan ini juga tidak menyebabkan seseorang ketagihan coklat.
8- Coklat TIDAK merangsang penyakit jantung.
KAJIAN Mayo Clinic, University of California, University of Scranton dan Pennsylvania State University menunjukkan coklat mengandungi bahan kimia, flavonoid, yang meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Ia juga bertindak sebagai antioksidan yang menghalang atau melambatkan kerosakan sel dan tisu badan.
9- Coklat TIDAK memburukkan keadaan batuk.
RAMAI percaya coklat tidak baik untuk mereka yang batuk. Hakikatnya, coklat berkesan untuk menghalang batuk yang berterusan. Theobromine dalam coklat didapati lebih berkesan daripada codeine, ubat batuk yang paling popular ketika ini. Coklat juga didapati melega dan melembapkan tekak.
10- Coklat TIDAK menyebabkan barah.
COKLAT adalah antara makanan yang mempunyai kandungan plumbum paling tinggi. Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah Amerika Syarikat menyebut kandungan plumbum dalam coklat amat rendah dan tidak memberi kesan buruk sekalipun dimakan dalam kuantiti yang banyak.
Info
# Sejarah coklat bermula lebih 2,000 tahun yang lalu dengan penemuan pokok dan biji koko di hutan hujan tropika di tengah dan selatan Amerika.
# Ramai beranggapan kepingan atau gula-gula coklat dicipta pada zaman moden. Hakikatnya, coklat `dimakan' oleh warga Maya (250-900 selepas Masihi) dan Aztec (1250-1521) pada zaman Mesoamerica purba sebagai minuman pahit dan berbusa (berbuih) serta berempah selain digunakan dalam acara keagamaan dan perubatan. Masyarakat Aztec percaya biji koko dianugerahkan oleh `tuhan berjanggut putih', Quetzalcoatl (ket sal koh AH tul), yang bertanggungjawab membawanya dari syurga ke bumi.
# Coklat diperkenalkan di Eropah oleh penakluk Sepanyol sekitar tahun 1500. Tidak seperti masyarakat zaman purba yang gemar coklat berperisa pahit, warga Eropah menyukai coklat manis. Ia asalnya diminum oleh pemerintah dan keluarga bangsawan. Dalam tempoh 100 tahun, coklat menjadi antara bahan makanan yang digemari ramai.
# Perkembangan Revolusi Industri pada pertengahan 1700-an menghasilkan pelbagai inovasi yang turut memajukan industri coklat. Coklat dalam bentuk pepejal, seperti kepingan coklat dan gula-gula mula dihasilkan dan menjadi manisan yang digemari setiap lapisan masyarakat sehingga kini.
# Nama saintifik untuk coklat, Theobroma diberikan oleh saintis Sweden, Carl Linnaeus. Ia membawa maksud food of the gods (makanan Tuhan).
# Coklat diperkenalkan di Jepun oleh askar Amerika ketika Perang Dunia Kedua. Ia semakin digemari warga Jepun dan hari ini, rakyat Jepun mengambil 3.75 paun (1.7 kilogram) coklat seorang setahun.
# Kita sering beranggapan coklat lebih banyak digunakan dalam bahan makanan. Hakikatnya, majoriti penduduk dunia minum coklat; mereka tidak memakannya.
# Minuman coklat bercampur racun dikatakan diguna untuk membunuh Pope Clement XIV pada 1774.
# Masyarakat Asia dikatakan kurang menggemari coklat. Warga China umpamanya memakan hanya sekeping coklat berbanding 1,000 keping oleh warga Britain.
Coklat susu atau coklat hitam?
JIKA anda mementingkan kesihatan, ini adalah panduan mudah untuk diikuti sebelum membeli, memakan atau menghadiahkan coklat buat yang tersayang.
Coklat susu (putih) memang enak dimakan berbanding coklat pahit (hitam) malah kajian mendapati coklat susu kini lebih menjadi pilihan.
Namun, coklat susu mempunyai kandungan lemak tepu tidak sihat yang tinggi, gula dan kalori - semuanya TIDAK ELOK UNTUK KESIHATAN - kerana ia mengandungi susu. (Jika dimakan berlebihan!)
Malah, kandungan kokonya yang lebih rendah menyebabkan kandungan antioksidannya kurang berbanding coklat hitam.
Sekeping coklat hitam mengandungi dua kali ganda antioksidan dan kurang kalori berbanding coklat susu. Dua belas biji koko diperlukan untuk menyediakan satu auns (28.3 gram) coklat hitam berbanding hanya empat biji koko untuk menghasilkan satu auns (28.3 gram) coklat susu.
Satu-satunya kelebihan coklat susu berbanding coklat hitam ialah ia mengandungi kalsium.
Justeru, coklat susu atau coklat hitam? Pilihlah yang hitam! Siapa kata hitam tidak `elok'...