Dirotan 22 kali
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Hanya kerana mendapat markah rendah dalam ujian bahasa, seorang guru tuisyen seolah-olah dirasuk histeria lalu menyebat muridnya yang berusia tujuh tahun dengan rotan sehingga cedera.
Tindakan melampau itu menyebabkan murid itu cedera serius pada kedua-dua kaki dan tangan selepas dirotan lebih 22 kali.
Mangsa, Kelly Cheah Kai Yee, 7, dirotan guru tuisyen berusia 20-an itu sehingga terpaksa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Mangsa yang ditemui semalam berkata, dia dirotan berulang kali oleh guru terbabit tanpa simpati di hadapan beberapa murid lain.
“Saya dipaksa berdiri tegak sebelum dilibas dengan rotan tanpa henti di kaki dan tangan.
“Malah, saya diugut akan menerima hukuman rotan berganda jika bergerak atau menjerit,” katanya.
Ibu mangsa, See Shih Li, 27, berkata Kai Yee bersama adiknya, Leanne Cheah Kai, 6, sebelum ini ditinggalkan bersama nenek mereka di Kota Kemuning berikutan dia sibuk menguruskan perniagaan kedai runcit.
Menurutnya, dua anaknya itu dihantar mengikuti kelas tambahan hampir setiap malam di rumah seorang guru di kawasan berhampiran.
“Dalam kejadian jam 10 malam itu, dua anak saya yang dihantar mengikuti kelas bimbingan dengan guru terbabit dihantar pulang ke rumah menaiki kereta oleh guru berkenaan.
“Sebaik tiba di rumah, Kai Yee seolah-olah ketakutan sebelum masuk ke rumah tanpa menghiraukan neneknya,” katanya.
Menurutnya, selepas guru yang dikenali sebagai Miss Ong itu beredar pulang, Kai Yee mengadu dia dirotan berulang kali guru terbabit.
“Saya yang bergegas datang selepas dihubungi, terkejut apabila mendapati kedua-dua betisnya lebam serta berbirat.
“Pergelangan tangannya turut dirotan sehingga meninggalkan kesan lebam ketara. Saya yakin guru terbabit memukul anak saya dengan rotan sekuat hati seolah-olah gagal mengawal perasaannya,” katanya.
Menurutnya, ada 11 kesan sebat pada kaki kiri, tujuh kesan lebam di kaki kanan dan tiga kesan rotan di tangan kiri.
“Saya yang terkejut dengan kejadian itu segera menghantarnya mendapatkan rawatan di PPUM sebelum membuat laporan polis di Seksyen 15, Shah Alam,” katanya.
Dia berkata, akibat tidak puas hati, dia segera menemui guru terbabit untuk mendapatkan penjelasan.
“Malangnya, guru terbabit enggan meminta maaf dan mendakwa apa yang dilakukan itu sebagai pengajaran kepada anak saya.
“Malah, dia juga mendakwa hukuman rotan itu sudah diberikan ‘diskaun’ kerana anak saya sepatutnya dirotan dua kali ganda,” katanya.
See mendakwa, guru terbabit mengaku panas hati berikutan kegagalan anaknya mencapai markah memuaskan dalam ujian bahasa yang diwajibkan kepada semua murid.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anaknya menjadi trauma dan takut ke sekolah.
“Saya sebelum ini menggunakan khidmat guru tuisyen yang sudah berkahwin itu untuk mengajar dua anak empat kali seminggu dengan bayaran RM280 seorang sebulan sejak awal Oktober lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong menganggap tindakan guru terbabit keterlaluan berikutan mangsa masih muda.
“Mungkin guru terbabit menghadapi masalah mental dan ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada guru terbabit perlu berhati-hati,” katanya.
Sumber :
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/T...cle/indexm_html