View Full Version: Tiga murid rahsia dua rakan lemas di pantai

CikguOnline | Komuniti Guru Malaysia > Petikan Akhbar > Tiga murid rahsia dua rakan lemas di pantai



Title: Tiga murid rahsia dua rakan lemas di pantai
Description: Menyedihkan!


hartiniazhar - November 1, 2006 03:36 PM (GMT)
:) KUANTAN: Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh dekat sini, lemas di pantai Kampung Cherok Paloh, petang kelmarin, tetapi kejadian itu hanya diketahui enam jam selepas itu kerana dirahsiakan tiga rakan mangsa.


Dalam kejadian jam 3 petang itu, tiga rakan pelajar terbabit dikatakan menyorok basikal kedua-dua mangsa, Doraini Danial Mohd Ariffadillah, 8, serta Muhd Hikram Hamdan, 7, dalam semak di tepi pantai berkenaan sebelum pulang ke rumah dan menonton televisyen.

Kejadian itu bagaimanapun terbongkar pada jam 9 malam selepas tiga pelajar itu, Mohd Amin Karim, 12, Fazrizal Azizan, 8, dan Helmi Hussaini, 8, menceritakan hal sebenar selepas disoal siasat polis yang menerima laporan mengenai kehilangan dua mangsa.

Difahamkan, kelima-lima pelajar itu ponteng kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) untuk mandi di pantai berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kamaruddin Kutik, berkata sebaik mengetahui kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat dua murid terbabit dilancarkan di sepanjang pantai berkenaan.

Lebih 100 orang, termasuk anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Penyelam Polis Marin dan penduduk kampung, menyertai operasi itu.

Beliau berkata, operasi itu dihentikan jam 2 pagi semalam dan diteruskan pada jam 7 pagi sehingga mayat kedua-dua mangsa ditemui tersangkut pada kayu di pantai Tanjung Gosong berdekatan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pekan.

“Mayat Muhd Hikram ditemui pada jam 9.20 pagi, disusuli mayat Doraini Danial pada 12.15 tengah hari berdekatan antara satu sama lain.

“Air pasang dan arus menyebabkan mayat dua murid berkenaan dihanyutkan kira-kira satu kilometer dari tempat mereka mandi petang kelmarin,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian dua pelajar lemas di pantai itu adalah yang keenam sejak empat tahun lalu.

Sementara itu, Fazrizal berkata, kejadian dua rakannya lemas di pantai itu dirahsiakan kerana bimbang dimarahi ibu bapa dan penduduk kampung.

“Selepas Doraini Danial dan Muhd Hikram hilang di permukaan air, kami berasa takut dan terus mengambil basikal mereka untuk disorokkan dalam semak.

“Mohd Amin meminta kami merahsiakan kejadian itu dan kemudian balik ke rumah masing-masing untuk menonton siaran kartun di televisyen.

“Selepas polis mendesak, saya terpaksa ceritakan hal sebenar. Saya takut dan sangat sedih sebab dua rakan sudah meninggal dunia,” katanya yang hadir ke sekolah pagi semalam dan menangis pada perhimpunan sekolah ketika menceritakan kejadian itu.


*Di mana silap kita sebagai ibubapa dalam cerita di atas? :stp:




Hosted for free by InvisionFree