:( Baru-baru ini satu laporan sebuah akhbar tempatan mendedahkan bahawa orang Melayu sekarang terlalu banyak diselubungi oleh hiburan. Perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan stesen televisyen tempatan kita saban hari menyajikan pelbagai rancangan hiburan.
Kemudian ditambah dengan pusat-pusat hiburan yang bercambah daripada arked mesin video, hinggalah kepada kelab-kelab malam, pub dan pusat karaoke yang beroperasi sehingga lewat pagi.
Selain itu konsert-konsert yang dianjurkan khusus untuk berhibur daripada artis tempatan dan Barat juga turut menambahkan lagi ruang kepada anak-anak muda Melayu ini untuk berhibur.
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) memandang berat akan perkara ini memandangkan ia melibatkan masa depan orang Melayu daripada terus leka dan lalai dibuai hiburan yang tidak memberikan apa-apa manfaat.
Orang Melayu mestilah mengutamakan pendidikan daripada pelbagai hiburan yang tidak menyumbang kepada perkembangan pemikiran yang sihat serta sanggup menghabiskan wang ringgit mengundi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) demi idola.
Sedangkan kita khususnya orang Melayu perlu mengamalkan prinsip keutamaan dalam kehidupan seperti mana yang pernah disuarakan oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menyeru umat Islam supaya mengutamakan yang utama.
Teras memandang berat isu orang Melayu yang lebih mengutamakan hiburan daripada pendidikan sedangkan orang Melayu masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain dalam dunia pendidikan.
Perkara ini juga perlu mendapat perhatian masyarakat Melayu memandangkan orang Melayu kini banyak dikaitkan dengan gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, pembuangan bayi, Black Metal, dan lumba haram yang menunjukkan keruntuhan akhlak yang semakin serius.
Rancangan-rancangan hiburan seperti pop video yang menampilkan penyanyi Barat dan konsert-konsert terutamanya dari artis Barat seperti Kumpulan Pussy Cat yang diadakan di negara kita baru-baru ini lebih menonjolkan kelucahan.
Ditambah dengan sajian filem-filem Hollywood dan juga filem-filem Bollywood yang jelas sekali merupakan bahan-bahan lucah yang seolah-olah tiada siapa lagi yang dapat membendungnya.
Pihak-pihak yang berkenaan seolah-olah sudah tidak mempedulikan lagi akan kesan buruknya yang menimpa terhadap orang Melayu menerusi pelbagai rancangan hiburan yang disediakan oleh mereka.
Merebaknya unsur-unsur hiburan dalam kalangan orang Melayu menyebabkan mereka lalai dan leka dengan hiburan sedangkan keutamaan terhadap pendidikan untuk masa depan mereka sendiri akan terabai.
Tatkala Teras menyaksikan tanda-tanda yang jelas akan kemerosotan orang Melayu mulai berputik, Teras mendapati banyak perkara yang tidak kena dalam kehidupan orang Melayu masa kini.
Sehubungan itu maka Teras mengajak masyarakat Melayu supaya bangkit semula serta melakukan muhasabah diri dan membawa perubahan kepada diri dan keluarga serta masyarakat dengan memegang kepada prinsip keutamaan.
Masyarakat Melayu juga memerlukan anjakan paradigma sekiranya mahu mencipta nama di persada antarabangsa dan mengubah segala sikap yang buruk yang merugikan diri mereka sendiri.