DASAR Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris (BI) di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik disambut baik walaupun ramai yang membantah.
Saya tiada masalah tentang dasar ini asalkan bertepatan dengan perlaksanaannya dan semua pihak mendapat manfaatnya.
Setelah diteliti dan diamati, saya rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dasar tersebut. Maksud saya di sini ialah adakah pelajar jurusan sastera peringkat menengah atas (tingkatan 4 dan 5) dan pelajar jurusan sastera tingkatan 6 (rendah dan atas) mendapat manfaat daripada dasar ini?
Jika dikaji, saya merasakan dasar ini ternyata berat sebelah, lebih-lebih lagi nisbah pelajar jurusan sastera dan sains di negara kita ialah 70:30. Ini dapat kita lihat secara lebih dekat, apabila pelajar-pelajar jurusan sastera hanya mengambil dua (2) subjek berbahasa Inggeris iaitu Mathematics dan Science. (mengapa tidak Ekonomi Asas atau Perdagangan atau Prinsip Perakaunan?).
Berbanding dengan rakan mereka yang berada di dalam jurusan sains di mana mereka terdedah kepada enam (6) subjek iaitu Mathematics, Additional Mathematics, Physics, Chemistry, Biology dan EST. Jika bilangan subjek berbahasa Inggeris yang dihadapi berlainan, maka saya berpendapat bahawa jumlah waktu (pendedahan kepada bahasa Inggeris) bagi kedua-dua jurusan tersebut juga adalah tidak sama. Itu bagi pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5, bagaiman pula dengan pelajar-pelajar jurusan sastera tingkatan 6 (rendah dan atas)?
Pelajar-pelajar ini, saya percaya mereka tidak terdedah langsung kepada bahasa Inggeris! Adakah dengan cara perlaksanaan sebegini memungkinkan Kementerian Pelajaran mencapai hasrat bahawa semua pelajar-pelajarnya mahir menguasai bahasa Inggeris, bermula dari Darjah 1 sehingga ke Tingkatan 6 tercapai? Saya rasa ini mustahil dapat dilakukan.
Seharusnya semua pelajar tidak kira apa juga jurusan mereka di sekolah mendapat pendedahan jumlah waktu yang sama dalam mempelajari bahasa Inggeris. Itukan lebih adil dan tulus dalam perlaksanaannya.
Cadangan saya ialah pihak Kementerian Pelajaran seharusnya mengkaji perlaksanaan dasar ini secara lebih mendalam agar tidak ada pihak yang tercicir atau terabai manakala satu pihak sahaja mendapat manfaatnya.
Seharusnya Kementerian Pelajaran memperkenalkan satu subjek baru iaitu English Communication/Communicative English (sekadar cadangan) untuk pelajar-pelajar sekolah bermula dari Darjah 1 hinggalah Tingkatan 6. Di mana, melalui subjek ini setiap pelajar (tidak kira kecil atau besar bilangan pelajar dalam satu kelas) diwajibkan berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
Ini memandangkan rata-rata pelajar sekolah di negara kita amat lemah daripada aspek komunikasi. Inilah sebenarnya yang harus ditangani oleh Kementerian Pelajaran. Bak kata orang tua-tua, tidak perlulah dirobohkan keseluruhan rumah kita jika dapur kita rosak, cuma perbaikilah dapur itu sahaja. Jika pendekatan ini diguna pakai, secara tidak langsung dapat menjimatkan masa dan kos semua pihak yang terbabit seperti pihak kerajaan, guru, pelajar dan ibu bapa.
Contoh tindakan bijak yang pernah diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran suatu masa dahulu dalam menangani gejala vandalisme ialah dengan memperkenalkan subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan kepada para pelajar di sekolah kerana ia diyakini dapat memberi impak jangka panjang kepada jati diri rakyat.
Saya berharap pihak Kementerian Pelajaran dapat mencongak atau meneliti semula akan cara perlaksanaan dasar ini kerana dikhuatiri yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Akhirnya, negara akan kehilangan modal insan yang tidak terhitung besar nilainya.
– KAMAR2703,
Shah Alam, Selangor.
:) Cek KAMAR2703 ni mungkin tinggal di bandar besor, jadi tak nampakle pencapaian sebenor murid luar bandar yang agak sukar menguasai subjek Matematik dan Sains. Udahle kene belajor istilah, formule dan macam-macam lagi dalam due-due subjek ni, lepas tu kene gak tahu BI. Utk murid bandar, I don't think it would be a problem because there are lots of exposure everywhere around them. Mungkin, di rumah pun cakap orang puteh jugak! Tapi teman setujule kalau ade subjek COMMUNICATIVE ENGLISH tapi biorle dimansuhkan Maths and Science in English tu!