:) PEPATAH menyebut masa itu emas manakala Saidina Ali Abu Talib mengibaratkan masa sebagai pedang. Begitu tinggi nilai yang diberi terhadap masa kerana ia tidak boleh ditukar ganti, dibeli mahupun dikembalikan sekiranya ia berlalu.
Biarpun pelbagai alat pengukur waktu telah tercipta, namun apakah ini menunjukkan manusia semakin menghargai masa? Apakah ini membuktikan manusia semakin bijak menggunakan masa? Sayangnya, manusia sering dalam kelekaan. Jam di dinding dan jam tangan kadangkala tidak dapat mengingatkan. Yang dihargai cuma jam tetapi bukan nilai yang diukur oleh jam itu.
Oleh itu, sebagai manusia seandainya kita tidak berusaha untuk mendahului masa dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat natijahnya, kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Merujuk surah al-Ashr yang bermaksud: Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Ayat di atas jelas merujuk kepada soal penggunaan masa (umur) yang menguntungkan dan produktif di dunia dan akhirat. Jika diperincikan semua perkara, ia tidak lari daripada soal tujuan hidup iaitu tanggungjawab sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Satu lagi hadis ialah yang berkaitan dengan memanfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara. Ia merujuk kepada soal jangan menangguhkan sesuatu aktiviti yang selaras dengan tujuan hidup semasa masih ada kesempatan (masa), kekuatan (tenaga), sumber (harta), umur dan nyawa. Misalnya, jangan menunggu tua untuk beribadat, kerana ibadat adalah soal yang dinamik dan progresif sifatnya. Ia memerlukan tenaga.
Begitu juga ibadat memerlukan masa, justeru masa lapang hendaklah digunakan semaksimumnya untuk kerja-kerja kebajikan. Jangan menangguhkan kebaikan yang hendak dilakukan, kerana tidak ada jaminan umur kita panjang. Ertinya, hadis ini mendidik kita supaya melaksanakan kerja secara lebih baik, pantas, selamat dan jimat. Bahkan, dalam sebuah hadis Baginda mengingatkan jika kita berada pada waktu pagi jangan menunggu waktu petang dan begitulah sebaliknya. Hadis ini juga sebenarnya adalah motivasi agar kita tidak bertangguh kerja atau tugasan. Lemah pengurusan masa menyebabkan seseorang dibelenggu tekanan kerja, keadaan dan individu berkaitan, sekali gus menjejaskan keceriaan dan kesihatan.
Maksud menguruskan masa dengan baik dan berkesan itu terbahagi dua. Pertama, mampu menggunakan masa untuk melakukan perkara yang betul dan kedua, perkara yang betul itu mampu pula kita lakukan dengan cara yang betul.
Ramai orang tidak menggunakan masa untuk melakukan perkara yang betul. Contohnya, ramai yang menyebarkan fitnah tetapi penyebarannya dibuat dengan cara yang cukup canggih dan sistematik. Hingga seolah-olah yang salah itu benar. Begitu juga dengan perkara-perkara negatif yang lain.
Ringkasnya, kita hendak buat perkara yang betul dengan betul. Betul atau salah mestilah dirujuk kepada syariat iaitu hukum wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Mana yang wajib, sunat dan harus itulah yang betul dan perlu dilakukan. Haram dan makruh, itulah yang salah dan perlu ditinggalkan. Cara individu menghabiskan masa bergantung kepada cara memandang kehidupan.
Ajaran Islam juga menuntut umatnya memilih keutamaan antara amal kebaikan yang banyak itu. Dr. Yusuf Al Qaradawi dalam bukunya, Fiqh Aulawiyat, memberikan panduan bagaimana untuk memilih keutamaan antara dua perkara baik.
Misalnya, jika kita seorang pekerja bertembung antara dua perkara baik iaitu sembahyang sunat Duha dengan menjaga kaunter perkhidmatan pelanggan. Maka yang perlu didahulukan ialah pekerjaan yang kedua iaitu manfaatnya kepada masyarakat. Sedangkan solat sunat Duha bermanfaat hanya untuk diri sendiri.
Lantaran itu, dalam hal menghargai masa, prinsip seseorang itu mestilah kuat. Prinsip itu letaknya pada hati. Hati ialah raja dalam ‘kerajaan’ diri manusia. Hatilah yang memerintah tangan, kaki, lidah, mata dan seluruh pancaindera. Bila hati sudah mahu, barulah kaedah-kaedah yang kita belajar tentang pengurusan masa boleh digunakan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Hati itu pula tempat letaknya iman. Bila hati kita beriman, kita akan terdorong untuk menggunakan masa dengan baik. Kerana orang beriman akan memanfaat umurnya untuk kebaikan. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu menyuburkan iman.
Ingat semula untuk apa kita dijadikan? Ke mana kita akan pergi selepas mati? Apakah bekalan yang perlu di bawa. Syurga atau neraka? Semua ini akan menambahkan keimanan kita dan insya-Allah barulah hati kita akan terdorong mengamalkan ilmu dan kemahiran tentang pengurusan masa. Jika tidak, kita hanya ‘tahu’, tidak ‘mahu’, apalagi ‘mampu’ menguruskan masa dengan baik.
Tip menghargai masa
BANYAK tip boleh digunakan dalam menghargai masa. Kuncinya adalah jadikan diri pengintip kepada masa. Antaranya:
1. Kesan masa produktif (prime time) dan ‘masa-masa penat’ anda
Setelah mengesannya, gunakan masa itu untuk tugas yang paling penting dan paling memerlukan tumpuan. Katalah tugas penting kita adalah menyiapkan persediaan mengajar dan prime time kita ialah waktu pagi. Maka gunakan waktu pagi untuk menyiapkan persediaan mengajar. Bukannya dihabiskan untuk membaca surat khabar. Sebaliknya, aktiviti-aktiviti kurang penting boleh dibuat pada ‘masa-masa penat’ kita.
2. Kesan musuh masa anda
Musuh kepada masa anda berpunca daripada anda sendiri atau orang lain. Kaji, apakah yang selalu membunuh masa anda. Mungkin berbual-bual kosong, melakukan panggilan telefon atau menjawab panggilan telefon secara marathon, melayani ‘tetamu’ yang tidak diundang, tidur atau rehat yang tidak perlu. Caranya adalah dengan menguatkan disiplin diri dan membina kemampuan untuk menolak dan mengatakan tidak. Jika kita belajar menghormati masa kita, insya-Allah orang lain akan menghormati kita.
3. Tetapkan satu jangka masa yang sesuai untuk sesuatu kerja
Bagi mengehadkan masa perbualan telefon, senaraikan perkara yang hendak diperkatakan dahulu. Setelah perkenalan dan ramah-mesra secara ala-kadar, kita terus kepada perkara yang hendak disampaikan.
4. Buat checklist penggunaan masa
Ketika ingin membeli-belah, senaraikan barang-barang dan anggaran harganya kerana ia amat perlu untuk mengawal diri anda daripada godaan membeli barangan yang tidak perlu. Ini penting untuk mengelakkan pembaziran wang. Begitulah juga seharusnya dalam ‘perbelanjaan’ masa. Kita harus ada checklist tentang apa yang perlu kita buat mengikut keutamaan untuk mengelak daripada pembaziran masa.
Ingatlah, masa lebih berharga daripada wang ringgit. Sayangnya, pembaziran masa sukar dirasai berbanding pembaziran wang kerana sifat masa yang maknawi (tidak dapat dilihat). Sebab itu, jarang ada orang yang membuat checklist perbelanjaan masa!
terima kasih... masa oh masa...sesuatu yg paling jauh dengan kita ialah masa yang ditinggalkan... yang paling dekat dengan kita ialah kematian....
renungkan.... :stp: :hmm: