:) KUALA LUMPUR 22 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kegiatan koperasi dijadikan satu daripada kokurikulum di sekolah bagi menanam semangat keusahawanan kepada pelajar.
Menurut beliau, generasi muda perlu didedahkan dengan pengetahuan koperasi sejak di bangku sekolah lagi bagi menyemai minat dalam bidang tersebut.
Katanya, ia sekali gus akan menambah keahlian, peningkatan modal serta pulangan yang memberangsangkan.
‘‘Anak-anak yang disemai dan diterapkan dengan kegiatan tersebut apabila keluar nanti akan mempunyai keinginan untuk menyertai koperasi atau setidak-tidaknya menjadi penyokong kegiatan tersebut serta bersedia memberi bantuan kepada gerakan berkenaan.
‘‘Saya akan memberitahu Hishammuddin (Menteri Pelajaran) untuk menjadikan kegiatan koperasi ini sebagai salah satu kokurikulum,’’ katanya ketika berucap melancarkan Hari Koperasi Negara 2006 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) di sini hari ini.
Hari Koperasi Negara (HKN) 2006 selama lima hari bermula semalam merupakan sambutan perayaan HKN kelima dengan mengekalkan tema Koperasi Penggerak Pembangunan Ekonomi.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, timbalannya, Datuk Khamsiyah Yeop dan Yang Dipertua Angkasa, Prof. Diraja Ungku Aziz.
Abdullah berkata, beliau berharap sekolah-sekolah yang tidak mempunyai koperasi supaya segera menubuhkannya kerana setakat ini hanya terdapat 2,000 koperasi sekolah.
‘‘Malaysia ini terlalu kecil berbanding jumlah sekolah yang ada dan saya berharap sekiranya kegiatan ini dijadikan salah satu kokurikulum, bilangannya akan bertambah,’’ katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mahu koperasi di negara ini membentuk kumpulan pemikir atau kumpulan kawalan kualiti (QC) sendiri agar dapat memikirkan kaedah terbaik untuk mengukuhkan institusi itu.
“Saya tidak mahu lagi koperasi sekadar mengadakan lawatan dan melihat sahaja sebaliknya perlu memikirkan mengenai pembaharuan dan meneroka bidang yang lebih luas lagi,’’ katanya.
Beliau turut menggesa institusi koperasi agar memastikan pengurus koperasi mengikuti kursus pengurusan kewangan dalam usaha memantapkan lagi institusi tersebut.
Dalam hubungan ini, Abdullah berharap gerakan koperasi seluruh negara tidak terbiar atau tidak mendapat latihan.
‘‘Jadikanlah pengurusan kewangan ini satu teras di semua peringkat pengurusan dan mungkin akan menjadi kemestian menghantar ahli-ahli pengurusan untuk mengikuti kursus yang dijalankan oleh koperasi,’’ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khaled memberitahu, pihaknya menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya kegiatan koperasi dijadikan satu kokurikulum.
“Setakat ini hanya ada 1,800 koperasi di sekolah menengah dan ia perlu ditingkatkan serta diperluaskan bagi menanam nilai-nilai koperasi keusahawanan.
‘‘Apa pun, perkara ini perlu dibincangkan dan dihalusi dengan Kementerian Pelajaran terlebih dahulu,’’ jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin tidak timbul sebarang masalah berkenaan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu menjadikan kegiatan koperasi sebagai salah satu kokurikulum baru sekolah di peringkat rendah dan menengah di negara ini.
Menurut beliau, cadangan Perdana Menteri itu dilihat wajar memandangkan kegiatan koperasi di sekolah telah wujud, biarpun jumlah masih kecil dan belum menyeluruh.
Tambahnya, perancangan menambah bilangan koperasi di sekolah memang ada, namun terpaksa melalui beberapa proses secara berperingkat.
berapa banyak kelab daaaa....
kan dah ada kelab keusahawanan kat sekolah. tapi ok jugak la kalau nak adakan kelab koperasi. bagus tu.
bagus jugak tu...makin banyak kelab makin banyak pilihan yang kita boleh sediakan pada anak didik kita...tak gitu cikgu ? :setuju: :setuju: :setuju: