:) MOHD Ishak Masrap, 17, berkata, kejayaan sepupunya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengikuti tuisyen, tetapi dengan memberi tumpuan mengulang kaji menggunakan sisipan pendidikan Utusan Malaysia, Tutor, memberi semangat kepadanya.
Menurut Mohd Ishak dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan, Tutor telah membuktikan ia sebagai bahan rujukan dan sokongan yang amat berguna.
``Kini sepupu saya melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan saya sedang berusaha menggunakan sisipan itu untuk mencapai kejayaan seperti mana sepupu saya itu,'' katanya.
Justeru dia menggunakan peluang sepenuhnya memahami cara-cara menggunakan Tutor semasa bengkel Akhbar dalam Pembelajaran (ADaP) anjuran Utusan Malaysia di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.`
ADaP diadakan sempena Program Titian Gemilang II yang merangkumi kursus motivasi bersepadu pelajar SPM 2006.
Ia dianjurkan Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara bagi pelajar luar bandar dari seluruh negara.
Bengkel itu dikendalikan Penasihat Portal Pendidikan Utusan dan pakar motivasi, Dr. Ismail Zain bersama-sama Ketua Unit Pendidikan Wahid Hashim.
Dalam pada itu Muhammad Nurhelmi Muhd Lukhman, 17 dari Sekolah Datok Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan berkata, melalui kursus motivasi itu memberi keyakinan kepadanya bahawa kejayaan boleh diraih dengan usaha bersungguh-sungguh.
``Kata-kata Dr. Ismail membakar semangat dan belum terlambat bagi saya untuk berusaha walaupun SPM bakal menjelang dalam tempoh empat bulan ini,'' katanya.
Untuk itu dia menggunakan sisipan Tutor bagi menambah bahan ulang kaji malah menggunakan akhbar Utusan Malaysia untuk menambah ilmu.
``Sejak ibu angkat saya mengirimkan Tutor untuk membantu saya dalam peperiksaan ini saya memang telah menjadikan sisipan ini sebagai bahan tambahan untuk mengulangkaji,'' katanya.
Wan Zeikram Wan Alam, 17, SMK Tun Haji Abdul Malek, Melaka juga merasa amat bertuah diberi peluang mengikuti bengkel tersebut.
``Malah kursus motivasi ini merangsang diri saya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap yang saya lakukan,'' ujarnya.
Wan Nurmardhati Wan Mohd Azhar, 17, dari SMK Sri Aman, Petaling Jaya dan Nursadiqah Khairudin, 16, dari SMK Tun Mutahir telah menggunakan Tutor ketika menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Kata Wan Nurmardhati, pada mulanya dia tidak mengendahkan nasihat guru menggunakan bahan sisipan tersebut.
``Tetapi bila saya mula menatap Tutor secara tidak sengaja saya mendapati ia memang amat berguna kepada pelajar seperti kami,'' ujarnya.
Malah dia kini menjadikan Tutor sebagai salah satu alat bantu mengulangkaji di samping bantuan guru untuk menunjuk ajar cara menggunakannya.
* Jika berusaha tentulah berjaya....walau macam mane kaedah sekalipun kite belajar.
Seperti Wan Nurmardhati, Nursadiqah juga sering tidak mengendahkan nasihat guru supaya menggunakan akhbar sebagai bahan bantuan dalam mengulang kaji pelajaran.
``Tetapi bila guru saya menggunakannya di bilik darjah secara serius barulah saya menyedari ia amat berguna untuk kami,'' katanya.
Mereka menyifatkan Tutor banyak menggunakan bahasa yang sering digunakan dalam soalan-soalan peperiksaan.
Ia amat mudah diikuti kerana mempunyai nota dan topik yang telah tersusun.
Dalam pada itu, mereka turut berterima kasih kerana pihak penganjur yang memberi peluang kepada mereka mengikuti kursus motivasi tersebut.
``Ia menyedarkan kami, di mana kesilapan kami sebenarnya terutama dalam kesungguhan untuk memastikan kejayaan,'' katanya.