:) Teman ni agak terkeliru dgn isu kongsi raye ni. Tapi....teman pun tak berape setuju ngan amalan ni gak! Masalahnye....bile dah fatwa keluar pasal ni, macam mane teman nak menerangkan pade orang lain yg tak faham ttg isu ni? Macam mane nak jelaskan amalan ni haram. Ape pun...teman nak ambille petikan sorang hamba Allah ni dalam ruangan forum paper Utusan Malaysia harini. Komennye macam die tu ahli benor dlm bab agama..tapi tak dinyatekan die tu kerje ape. Cubele bace di bawah ni.....
Ulama perlu faham kongsi raya berbeza kongsi agama
MERUJUK kepada laporan (Utusan Malaysia, 14 Jun 2006) yang bertajuk Ulama mahu amalan kongsi raya dikaji semula, izinkan saya memberikan sedikit ulasan. Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di Perak meminta kerajaan mengharamkan amalan kongsi raya dan rumah terbuka yang selama ini menjadi satu budaya perayaan di Malaysia.
Tidak kira ia disambut oleh mana-mana agama mahupun pelbagai kaum dengan alasan ia boleh mengundang kemudaratan terhadap akidah dan boleh mengundang syirik.
Ini bukanlah kali pertama fatwa sebegini dikeluarkan, malah ia pernah dikeluarkan oleh Majlis Mufti Perak menerusi laman web mereka iaitu
http://mufti.perak.gov.my/berita/berita041022-2.htm yang bertarikh 22 Oktober 2004.
Tetapi dalam majalah Al-Islam keluaran Februari 2005/ Zulhijah 1425, menerusi ruangan Fatwa, seorang saudara baru bertanyakan perihal menyambut perayaan bukan Islam dan soalan itu telah dijawab oleh Syeikh Ahmad Kutty.
Dalam perenggan kelapan, Syeikh Ahmad dilaporkan menyebut seperti berikut:
‘‘Dalam persoalan sama ada boleh atau tidak merayakan Krismas (beliau menumpukan persoalan perayaan Krismas kerana beliau berasal dari keluarga Kristian sebelum memeluk Islam), maka jawapannya ialah ‘anda dibenarkan untuk merayakan dan mengambil bahagian di dalam perayaan tersebut, selagi anda tidak menuruti, mengikuti dan terlibat dalam apa jua acara amalan agama dalam Kristian’.
‘‘Islam mengajar agar menjadi insan yang berakhlak dan berkasih sayang sepanjang masa dan berlaku baik terhadap manusia.”
Maka, memadai kongsi raya dan rumah terbuka diharamkan dengan mengutarakan bahawa semangat pluralisme menjadi fokus utama?
Semangat pluralisme boleh menular dengan mudah walaupun tanpa perkongsian perayaan dan rumah terbuka kerana segala amalan kita berpaksikan niat kita. Jika mulia niat kita, maka tiada persoalan terpesong akidah akan wujud.
Semangat kongsi raya dan rumah terbuka jika dilihat kepada aspek positif hanyalah mendekatkan jurang sosial yang semakin terpisah di antara kaum-kaum di Malaysia yang sememangnya semakin menular semangat perkauman.
Hal ini jika tidak dibendung maka tidak hairanlah tragedi hitam 16 Mei 1969 boleh berulang.
Maka, para ulama sekalian perlulah memahami perbezaan kongsi raya dengan kongsi agama.
Sesungguhnya Allah berfirman menerusi surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
- AZRAAI,
Melaka.
Teman rase komen di atas macam nak ngajor ulamak pulak! Tapi ape pun ini satu lagi komen seorang ustaz yang merangkap Pengerusi BADAI (Badan Anti IFC);
Badan Anti-IFC (BADAI) menyokong penuh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang meminta kerajaan mengkaji semula amalan kongsi raya yang boleh merosakkan aqidah umat Islam dan membawa kepada syirik.
BADAI percaya keputusan yang dibuat oleh badan yang berwibawa dalam urusan agama itu sememangnya jelas dan mempunyai sandaran yang kukuh dengan berdalilkan Kitabullah dan Sunnaturrasul.
Sehubungan dengan itu, mereka yang bukan pakar dalam bidang hukum agama diminta agar jangan mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam ajaran Islam, perayaan Aidil Fitri dan Adha adalah merupakan ibadah yang disyariatkan oleh Allah dengan tujuan untuk membesar dan mengesakan Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“…Dan hendaklah kamu menyempurnakan masa (puasa) serta membesarkan Allah di atas apa yang Allah berikan petunjuk kepada kamu , dan semoga kamu bersyukur ..”
(Surah Al-Baqarah : ayat 185)
Dalam ajaran Islam juga, Islam melarang sama sekali umatnya merayakan perayaan kepercayaan agama lain walaupun dalam masa yang sama Islam tidak menyekat penganut agama lain merayakan perayaan agama mereka.
Justeru BADAI melihat bahawa amalan kongsi raya tidaklah wajar diteruskan malah pihak kerajaan mestilah menerima nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan. BADAI meyakini bahawa tanpa amalan kongsi raya, perpaduan antara kaum telah pun wujud dan tetap boleh diteruskan dalam negara ini dengan syarat semua penganut agama saling menghormati antara satu sama lain.
Bahkan amalan kongsi raya yang berpunca daripada fahaman liberalisme telah menyebabkan fahaman ini menular dengan agak meluas dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Dalam pada itu, keputusan undian sms yang disiarkan Buletin Utama TV3 pada 14 Jun 2006 yang menunjukkan sebanyak 76% tidak bersetuju dengan amalan kongsi raya, ini memberi isyarat bahawa majoriti rakyat berbilang agama tidak bersetuju dengan amalan tersebut.
Dengan ini BADAI menyeru YAB Perdana Menteri yang berpegang teguh kepada 10 prinsip Islam Hadhari agar menghentikan amalan kongsi raya ini dan menasihatkan menteri-menteri dan pihak berkenaan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan badan berwibawa agama Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.
Teman ni bersetuju dgn komen ustaz ni. Teman rase kite orang Islam kat Malaysia ni terlalu berkompromi sangat...semate-mate nak tunjuk perpaduan kaum. Hasilnye...akidah kite yang tergadai! Sape nak jawab?! :stp: