:)
Ibu 2 pelatih PLKN terbabit pergaduhan maut luah rasa hati
KOTA TINGGI: Semalam, apa yang terbuku di hati ibu dua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dipercayai bergaduh hingga menyebabkan kematian seorang daripadanya, Haziq Jaafar, 18, pada 21 April lalu, terlerai dalam suasana pilu.
LUAH PERASAAN: Ganeswary
(kanan) dan Fadzilah
menangis sambil berpelukan
dalam pertemuan mereka
di rumah Haziq di Kilang
Kelapa Sawit Tai Tak,
Kota Tinggi, semalam.
Ibu Haziq, Fadzilah Mohd Yassin, 39, dan B Ganeswary, 38, menangis tersedu-sedu berpelukan dengan menyatakan perasaan masing-masing dengan diperhatikan keluarga dan jiran mereka.
Fadzilah menyatakan kerinduan terhadap anak sulungnya kerana tidak lagi dapat menatap wajahnya, manakala Ganeswary memohon maaf terhadap kesalahan anaknya dan berharap dapat menjernihkan keadaan.
Suasana di rumah keluarga Haziq, yang diselubungi kepiluan tenang tanpa ketegangan ketika kedua-duanya meluahkan rasa hati mereka sejak kejadian itu.
Haziq meninggal dunia kerana dipercayai patah leher dalam pergaduhan dengan seorang rakan kira-kira jam 10.30 malam di Kem PLKN Padang Hijau, Kluang dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.55 malam.
Seorang pelatih didakwa di Mahkamah Majistret Kluang atas tuduhan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan. Kes itu akan disebut semula pada 27 Julai ini sementara menunggu laporan perubatan tertuduh.
Fadzilah yang ditemui selepas itu berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku dan bila-bila masa keluarga itu boleh mengunjunginya termasuk pelatih berkenaan.
Pertemuan itu dijangka menamatkan prasangka, curiga dan marah yang mungkin bersarang pada hati kedua-dua ibu berkenaan.
“Perasaan saya pada awal kejadian memanglah marah, ingatkan anak orang jahat pukul anak saya. Sekarang saya reda dan bila-bila mereka hendak datang, saya terima,” katanya.
Ganeswary dari Kempas, Johor Bahru, ditemani 19 jirannya beragama Islam serta Ketua Umno cawangan Kampung Persiaran Kempas, Mustafa Kamal Ariffin tiba di rumah Haziq di Kilang Kelapa Sawit Tai Tak, di sini, jam 10 pagi.
Beliau berharap salah sangka yang mungkin ada di antara keluarganya dengan ibu bapa Haziq, Jaafar Ibrahim, 46, dan Fadzilah dapat diselesaikan selepas ini.
Katanya, dia sudah lama ingin menziarah keluarga Haziq dan tidak dapat tidur lena selagi tidak berbuat demikian, tetapi bimbang dan takut tidak diterima.
“Saya hendak jumpa keluarga Haziq tetapi tidak tahu cara. Anak saya pun mahu datang. Apabila saya bercakap dengan dia, dia pasti menangis, dia pun tidak sangka jadi begini. Saya yakin dia mesti datang bertemu keluarga Haziq.
“Saya sering berfikir jika bertukar tempat dengan Fadzilah. Saya ada anak umur 17 tahun, tahu bagaimana rasanya kehilangan. Fadzilah kehilangan anak dan anak saya hancur masa depan,” katanya.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan insurans RM128,000 kepada Jaafar. :cry: :cry:
Anak mengigau panggil nama ibu
Oleh Ziauddin Sharuddin
KUALA LUMPUR: Pada zahirnya, Nor Amylia Nadira Azwanizam, 4; nampak gembira tetapi setiap malam ketika nyenyak tidur dia akan terkejut dan memanggil ibunya beberapa kali.
Keadaan itu berlaku sejak melihat sendiri ibunya, Azmah Mohamad, 24, mati dibunuh dipercayai bapanya, di flet Projek Perumahan Rakyat (PPR), Ampang Hiliran di sini, minggu lalu.
Kini, tiada lagi kasih sayang serta belaian daripada ibu dan tanggungjawab itu, kini dipikul bapa saudaranya, Azmi Mohamad, 35, yang akan memujuknya setiap kali mengigau atau menangis.
Dua lagi adiknya, Nor Amira Nazwa, 2, dan Nurul Syuhadahtul Izzati, 6 bulan, yang masih menyusu badan ketika kejadian seolah-olah tahu ibu mereka sudah tidak ada lagi dan tidak menolak ketika disuapkan susu botol.
Ketika semua keluarga menyambut Hari Ibu hari ini, tiga anak kecil yang masih belum mengerti erti kehidupan ini terpaksa tinggal bersama keluarga bapa saudara mereka.
Azmi diberi amanah sementara oleh Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan untuk menjaga tiga beradik itu.
Beliau berkata, keutamaan sekarang ialah tiga beradik itu, terutama Nor Amylia Nadira kerana dia melihat kejadian itu. Nor Amira Nazwa pula memang rapat dengan ibunya kerana sejak dilahirkan, dia menyusu badan.
“Nurul Syuhadahtul Izzati juga menyusu badan, tetapi tidak seperti dua kakaknya, faktor usia menyebabkan dia tidak tahu apa-apa mengenai kejadian itu,” katanya kepada Berita Minggu ketika ditemui di rumahnya di Taman Keramat Permai, dekat sini.
Ketika mengunjungi rumahnya, Nurul Syuhadahtul Izzati tidur dalam buaian, manakala dua kakaknya leka bermain dengan saudara-maranya.
Azmi berkata, anak arwah terutama yang sulung tidak bercakap mengenai ibunya, tetapi akan menyebut ibu kalau melihat gambar ibunya.
Katanya dia akan membawa Nur Amylia Nadira secepat mungkin berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memulihkan traumanya.
:cry: :cry: :cry: