TELUK INTAN: Seramai 40 ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia, di sini kesal kerana anak mereka dikeluarkan daripada senarai penerima Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) tahun ini.
Tahun lalu semua 60 murid miskin sekolah itu menerima bantuan sebanyak RM120 seorang yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran sejak lima tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya 20 murid miskin saja dari sekolah itu menerima bantuan KWAPM pagi semalam sebanyak RM200 seorang yang disampaikan Guru Kanan Hal Ehwal murid sekolah itu, Sutinah Naif yang mewakili Guru Besar, Mohd Nordin Mohd Amin.
Beberapa ibu bapa murid yang anak mereka terkeluar daripada senarai penerima bantuan KWAPM datang ke sekolah itu menyatakan rasa terkejut dan tidak puas hati kepada pihak sekolah.
Seorang ibu, Nazimah Mohd Nazri, 31, berkata pada 2004 dan tahun lalu, dua anak lelakinya yang belajar dalam tahun tiga dan lima menerima bantuan RM120 seorang.
“Tetapi tahun ini nama anak saya dikeluarkan dengan alasan kononnya saya masih muda dan boleh bekerja menyara keluarga sedangkan suami saya hanya pekerja kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya di sini, semalam.
Nazimah berkata, penolong kanan sekolah itu pula hanya membisu apabila ditanya apakah dua tahun lalu dia dianggap tua dan sebab itu dua anaknya menerima bantuan.
Beliau mendakwa, ada ibu murid yang lebih muda daripadanya menerima bantuan KWAPM.
Salmi Arshad, 27, yang mempunyai tujuh orang anak berkata, hanya seorang saja daripada dua anaknya yang belajar di sekolah itu menerima bantuan KWAPM tahun lalu.
“Tahun ini nama kedua-dua anak saya tidak ada dalam senarai dengan alasan kononnya saya tidak memulangkan borang permohonan kepada pihak sekolah.
“Saya terkejut kerana sebelum ini anak saya tidak ada menerima borang permohonan itu daripada pihak sekolah,” katanya.
Salmiah Mat Daud, 32, pula dukacita kerana dua anaknya terkeluar daripada senarai dengan alasan pemilihan dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri.
“Saya tidak dapat menerima alasan tidak munasabah itu kerana pada 2004 dan tahun lalu kedua- dua anak saya menerima bantuan KWAPM,” katanya.
Sumber :
http://hmetro.com.my