Isteri mati ditikam suami ketika menyusukan bayi!
Oleh: YAP LEE YING
IBU saudara mangsa, Halifah Abd. Majid meriba Nurul Suhada, 6 bulan (kanan) sambil ditemani kakaknya, Nuramira Nazwa, 2 tahun (kiri) di kediaman mereka di Ampang, Selangor, semalam. Kedua-duanya menjadi yatim berikutan kematian ibu mereka Azmah Mohamad (gambar kecil). - Gambar ABDUL RAZAL LATIF.
KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang penagih dadah bertindak kejam menikam isterinya yang sedang menyusukan bayi berusia enam bulan menggunakan sebilah keris kecil di bilik tidur mereka di Flat PPP Hiliran Ampang, di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian yang menyayat hati itu, mangsa Azmah Mohamad, 24, yang ketika itu sedang duduk di katil tersungkur ke lantai dalam keadaan masih memeluk erat bayi yang disusuinya.
Ibu kepada tiga anak perempuan yang masing-masing berusia empat tahun, dua tahun dan enam bulan meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) pada pukul 12.30 tengah malam.
Selepas menikam bahagian dada kanan mangsa, suspek (suami mangsa), 27, seorang penganggur dan penagih tegar terus melarikan diri.
Bagaimanapun, tujuh jam kemudian, polis berjaya menahan suspek di tepi jalan berhampiran Jabatan Pengairan Ampang, dekat sini.
Senjata (keris kecil) yang digunakan untuk membunuh mangsa ditemui kira-kira 200 meter di tapak pembinaan belakang flat berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Hasnan Hassan berkata, dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang sedang menyusukan anak dipercayai bertengkar dengan suspek.
``Ketika itu, ibu saudara suspek dan dua anak pasangan tersebut, tidur di bilik bersebelahan serta ruang tamu.
``Tiba-tiba, ibu saudara suspek terjaga apabila terdengar jeritan mangsa dan suara tangisan bayi yang kuat.
``Pada masa yang sama, suspek yang menutup seluruh tubuhnya menggunakan sehelai tuala berwarna kuning terus menutup suis utama rumah sebelum melarikan diri,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Hasnan, apabila menyedari kejadian tersebut, ibu saudara suspek terus mengejutkan jiran dan meluru ke rumah kakak sulung suspek yang terletak di tingkat lima flat yang sama.
Beliau memberitahu, ketika polis tiba di tempat kejadian, mangsa yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas lantai bilik, masih memegang erat bayinya.
``Mangsa kemudian dikejarkan ke HUKM dengan menaiki ambulans.
``Bagaimanapun, mangsa yang mengalami pendarahan keterlaluan meninggal setengah jam kemudian,'' ujarnya.
Kata Hasnan, hasil tindakan pantas, suspek berjaya ditahan pada pukul 7 pagi ini.
Katanya, siasatan awal polis percaya motif kejadian adalah berkait dengan masalah kewangan dan cemburu.
Tambah beliau, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap merupakan penagih dadah berdasarkan beberapa peralatan menghisap dadah yang ditemui di rumah terbabit.
``Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,'' ujar Hasnan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sabran Napiah berkata, pihaknya banyak menerima laporan penagih dadah yang melakukan keganasan terhadap anggota keluarga termasuk ibu bapa.
Beliau berkata, selain faktor kewangan dan tekanan, jenis dadah yang diambil seseorang penagih turut mendorong kepada perlakuan agresif.
``Dadah direka bentuk atau designer drug jenis baru membabitkan campuran bahan kimia seperti syabu dan ekstasi mampu merosakkan otak dan seterusnya mewujudkan halusinasi terhadap penagih.
``Apabila ini berlaku, ia akan mendorong seseorang penagih untuk bertindak agresif mencederakan orang lain termasuk ibu bapa, isteri dan keluarga sendiri,'' jelasnya.
Justeru, kata Sabran, masyarakat perlu tampil dan bekerjasama dengan polis dan AADK untuk membuat laporan mengenai gejala tersebut.
Dalam tempoh 1988 hingga 2005, seramai 289,763 penagih dadah tegar dikesan di negara ini.
:cry: Sedih teman bace berite di atas. Ape nak jadi manusia sekarang ni. Dah rasuk dek setan ke? Kenape le kejam bebenor? Ibu tengah menyusu anak pun nak dibunuhnye! Apele punye suami? Tarak otak betul.....itule kalau dah menagih, itule jadinye. Sampaikan bini sendiri pun nak dibunuhnye!
:geram: Eeeee.....geram betulle laki tarak otak tu! Kalau temanle yang dapat tangkap die, teman tembak dengan M16! :tembak:
heee geram betul bila baca berita2 yang macam ni...kalu manusia tiada agama gitulah jadinya..hilang kawalan,tanpa fikir panjang, tanpa belas kasihan...hilang segala pertimbangan...sanggup membunuh ahli keluarga sendiri..apa nak jadi...cuba fikir2kan...........
kalau dah dibawah sedar...
semua benda boleh terjadi...